Rogol anak tiri OKU, warga Bangladesh dipenjara 10 tahun, 10 sebatan

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 31, 2019 18:11 MYT
Tertuduh didakwa merogol anak perempuan tirinya berusia 21 tahun yang juga OKU mental di sebuah rumah di Melaka Tengah, pada 13 Jun tahun lalu. - Astro AWANI
Tindakan durjana seorang lelaki warga Bangladesh merogol anak tirinya warga tempatan yang juga orang kelainan upaya (OKU) mental, tahun lalu berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh pada Khamis.
Hukuman itu diputuskan Hakim Elesabet Paya Wan terhadap tertuduh yang berusia 41 tahun di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak perempuan tirinya berusia 21 tahun yang juga OKU mental di sebuah rumah di Melaka Tengah, sekitar jam 10 malam, 13 Jun tahun lalu.
Tertuduh yang baru berkahwin dengan isterinya berusia 49 tahun pada Ogos 2017 lalu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun, serta minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebanyak sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil sejak pertuduhan pertama pada 24 Ogos tahun lalu.
#Bangladesh #jenayah #mahkamah #OKU #orang kelainan upaya #rogol #rogol anak tiri #warga asing
;