Rogol anak tiri, dua individu dihadap ke mahkamah
Bernama
Januari 17, 2024 18:08 MYT
Januari 17, 2024 18:08 MYT
MELAKA: Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, atas 12 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol dua anak tirinya tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 44 tahun itu melakukan kesalahan tersebut ke atas kanak-kanak perempuan berusia 11 dan 16 tahun, antara Mac 2023 hingga 1 Jan, di sebuah rumah di Taman Merlimau Emas Seksyen 2, Merlimau di dalam daerah Jasin.
Tertuduh berdepan enam pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 AKSTK 2017 yang boleh dihukum penjara tidak kurang 20 tahun dan sebat.
Lelaki itu juga berdepan tiga dakwaan di bawah Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat.
Tiga dakwaan turut dikenakan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membolehkannya dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat tidak kurang 10 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom, mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 bagi kesemua pertuduhan dan syarat tambahan, manakala tertuduh diwakili peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan yang rendah dengan alasan menanggung ibunya yang berusia 72 tahun.
Hakim Dharmafikri Abu Adam kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin, manakala pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka setiap bulan.
Tertuduh dan pihak lain juga dilarang menghubungi dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Sementara itu di hadapan hakim yang sama, seorang lagi individu dihadapkan ke mahkamah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol dua anak tiri perempuannya berusia 14 dan 16 tahun di Rumah Pangsa Lereh, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah antara Jun 2023 hingga 2 Jan lalu.
Tertuduh berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu, berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 AKSTK 2017 dan tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi empat pertuduhan manakala dua lagi pertuduhan tidak ditawarkan jaminan.
Peguam Nur Aifaa Mohd Zain yang mewakili tertuduh, tidak membuat sebarang rayuan kerana anak guamnya tidak mampu menyediakan wang jaminan.
Darmafikri mengarahkan tertuduh dibawa ke penjara dan menetapkan tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes pada 27 Feb depan.
-- BERNAMA