Rogol anak kandung, lelaki dipenjara 54 tahun, 25 sebatan

Muhafandi Muhamad
Jun 1, 2023 16:24 MYT
Tertuduh turut mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, melakukan kelucahan melampau, miliki pornografi kanak-kanak dan video lucah. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 54 tahun dan 25 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk merogol anak kandungnya.
Tertuduh yang berusia 39 tahun turut mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, melakukan kelucahan melampau, miliki pornografi kanak-kanak dan video lucah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Tertuduh bagaimanapun perlu menjalani hukuman penjara 16 tahun apabila hakim memerintahkan semua hukuman berjalan serentak dari tarikh dituduh hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 19 tahun yang mana perhubungan dengannya adalah tidak dibenarkan dibawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi yang sama iaitu di sebuah rumah di Sering, Kota Bharu antara jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari pada akhir Mac, 10 Mei dan 11 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun hingga 30 tahun dan 10 sebatan.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman 14 tahun penjara dan lapan sebatan, 15 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan kedua serta 16 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan ketiga.
Manakala, bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didapati bersalah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan melakukan kelucahan melampau terhadap anak kandungnya.
Kesalahan itu dilakukan dua lokasi berasingan iaitu di Sering dan Panji, antara jam 11.05 pagi dan 4 petang pada 11 Mei lalu dan 7 Disember tahun lalu.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (Akta 574) dan 377D.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan keempat dan penjara satu tahun bagi pertuduhan kelima.
Sementara itu, bagi pertuduhan keenam dan ketujuh, tertuduh didakwa memiliki pornografi kanak-kanak dan memiliki video lucah dalam telefon bimbit di lokasi sama di Sering pada 19 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Bagi kesalahan berkenaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan keenam dan penjara satu tahun bagi pertuduhan ketujuh.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan sebanyak 54 tahun dan 25 sebatan, namun hukuman berjalan serentak iaitu 16 tahun dari tarikh dituduh dan 25 sebatan.
#rogol anak kandung #Mahkamah Sesyen Kota Bharu #luar tabii #miliki pornografi
;