Rogol anak: Bapa durjana dipenjara 115 tahun, 24 sebatan

Astro Awani
Disember 20, 2017 17:59 MYT
Tertuduh mengaku bersalah untuk lima pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan dua hakim. - Astro AWANI
Seorang nelayan berusia 53 tahun berdepan hukuman penjara 115 tahun dan 24 sebatan dalam dua prosiding berbeza di Mahkamah Sesyen Kuantan atas kesalahan sumbang mahram dan rogol anak kandungnya berusia 20 tahun sejak empat tahun lalu.
Tertuduh mengaku bersalah untuk lima pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan dua hakim Datuk Unaizah Mohd dan Siti Aminah Ghazali.
Pada prosiding pertama, mengikut pertuduhan, mangsa pada ketika itu baru berusia 16 tahun telah dipaksa melakukan hubungan seks dengan bapanya di rumah rakit Sungai Pahang, Pekan pada 20 Oktober 2013.
Bagi pertuduhan kedua, pada 24 Oktober 2014, mangsa sekali lagi dirogol ketika bapanya itu baru pulang dari menangkap hasil sungai empat hari selepas mangsa cuba melarikan diri.
Pada prosiding kedua, tertuduh didapati bersalah atas tiga pertuduhan lagi, iaitu merogol anaknya pada 14 dan 22 September serta 3 Oktober 2017.
Berdasarkan fakta kes, mangsa juga dipukul dan ditendang oleh tertuduh jika mendedahkan kejadian itu kepada orang lain.
Tertuduh juga mengugut untuk melakukan perkara sama terhadap adik mangsa sekiranya kejadian itu terbongkar.
Kejadian itu difahamkan diketahui ibu dan adik-beradik mangsa tetapi mereka berdiam diri kerana bimbang dicederakan tertuduh dan perlakuan keji itu kerap berulang hampir dua kali seminggu sejak empat tahun lalu.
Namun pada 6 Disember lalu, mangsa nekad melarikan diri selepas sudah tidak tahan dengan kebuasan nafsu bapanya lalu membuat laporan polis mengenai kejadian sebelum tertuduh ditahan pihak polis.
Pada prosiding pertama, Datuk Unaizah menetapkan 20 tahun penjara untuk kesalahan pertama dan 20 tahun lagi untuk kesalahan kedua.
Manakala pada prosiding kedua Hakim Siti Aminah menetapkan 25 tahun penjara dan 10 sebatan untuk ketiga-tiga pertuduhan menjadikan jumlah semua hukuman 75 tahun dan 30 sebatan.
Mahkamah juga mengambil kira Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah yang menghadkan sebatan sebanyak 24 sebatan sahaja.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hassim untuk prosiding pertama dan kedua oleh Haryati Abdullah dan Kes disiasat di bawah Seksyen 376 (B) dan Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
#anak #jenayah #Kuantan #mahkamah #Mahkamah Sesyen #mangsa #nelayan #Pahang #penjara #polis #rogol #rogol anak #rumah #seks
;