Rogol amah: Mangsa sedia lalui proses perbicaraan

Sinar Harian
Ogos 23, 2019 10:50 MYT
Sabda Tian (dua, kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - Foto Sinar Harian
Pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirinya dirogol seorang Exco Kerajaan Perak bersedia untuk menghadapi proses perbicaraan di mahkamah.
Perkara itu dimaklumkan Konsulat Kedutaan Indonesia di Malaysia yang ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Wakilnya, Sabda Tian berkata, keadaan wanita berusia 23 tahun itu semakin pulih sepanjang berada di bawah pemantauan Kedutaan.
"Keadaan mangsa semakin membaik dari segi mental dan moralnya, dia juga siap dan kuat untuk hadapi proses sidang (perbicaraan) seterusya," katanya.
Beliau hadir ke mahkamah bersama seorang lagi wakil bagi mengikuti pertuduhan terhadap Exco Pengangkutan awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan dakwaan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
BACA: Exco Perak Paul Yong mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol
Mengulas lanjut Sabda Tian berkata, pihaknya berpuas hati dengan perkembangan siasatan kes itu dan merakamkan ucapan kasih atas kerjasama baik diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, kes-kes seumpama itu sememangnya akan diberikan perhatian serius oleh pemerintah Indonesia terutama membabitkan pekerja domestik.
"Kita ikuti kes ini sejak awal dan sudah tentu harapan kita di pihak Indonesia sangat tinggi, namun kita serah segalanya kepada Malaysia untuk mengendalikannya," katanya.
Beliau mengakui, kes berkenaan mendapat liputan meluas di negara berkenaan.
"Penerimaan keluarga sudah tentu mereka terkejut atas kejadian yang menimpa anak perempuan mereka, tetapi kita ikuti semua proses yang dijalankan di Malaysia," katanya.
#amah #Exco #Indonesia #Ipoh #Kedutaan Indonesia #konsulat #Mahkamah Sesyen #mangsa #pembantu rumah #rogol #Sabda Tian #siasatan
;