Rogol adik ipar, pemotong rumput dipenjara 42 tahun, 30 sebatan
Bernama
September 8, 2024 18:16 MYT
September 8, 2024 18:16 MYT
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 42 tahun dan 30 sebatan terhadap seorang pemotong rumput setelah didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol adik iparnya tiga tahun lepas.
Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 39 tahun pada akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun di sebuah rumah di Marang sekali pada Februari dan dua kali pada Julai 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun hingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Hakim Nooriah berkata tertuduh wajar dikenakan hukuman berat dan setimpal kerana kesalahan yang dilakukan itu adalah serius, selain hubungan kekeluargaan tertuduh dengan mangsa.
Beliau memerintahkan tertuduh dikenakan 14 tahun penjara dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman bagi pertuduhan pertama bermula dari tarikh sabitan manakala hukuman bagi tuduhan kedua dan ketiga berjalan serentak selepas pemenjaraan bagi hukuman pertama selesai.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noradila Ab Latif.
-- BERNAMA