'Rocky' kekal jawatan Presiden NPC
Bernama
Mac 25, 2021 00:55 MYT
Mac 25, 2021 00:55 MYT
KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Petra News, Datuk Ahirudin Attan yang lebih dikenal sebagai Rocky's Bru berjaya mengekalkan jawatan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Malaysia bagi penggal 2021-2023 pada mesyuarat agung tahunannya di sini malam tadi.
Beliau memegang jawatan itu beberapa penggal sebelum ini termasuk dari 2003-2005, 2005-2007, 2009-2011, 2011-2013 dan penggal 2019-2021.
Bercakap kepada Bernama, wartawan veteran, yang mengendalikan blog Rocky's Bru itu, berkata NPC dengan barisan jawatankuasa baharunya akan terus menegakkan kewartawanan yang baik kerana ia adalah bahagian penting dalam negara yang aman, makmur dan demokratik.
"Kami akan memerangi berita palsu, memperjuangkan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) dan menggalakkan pengawalseliaan kendiri. Kami juga ingin menyatukan golongan wartawan di negara ini supaya dapat secara kolektif melakukan usaha yang hebat untuk Malaysia," katanya.
Pada mesyuarat tersebut, Ahiruddin juga turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM168,500 bagi Tabung Kebajikan Wartawan (JWF) NPC khususnya untuk membantu golongan media yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
"Semasa pandemik ini, ratusan wartawan hilang pekerjaan. Sekali lagi, kami di NPC mempunyai rakan sewaktu memerlukan. Antaranya, Hong Leong Bank dan Datuk Vinod Sekar dengan Vinod menjadi penyumbang terbesar kepada tabung itu sepanjang tahun lalu.
"JWF ditubuhkan bagi membolehkan kami membantu lebih ramai wartawan khusus ahli NPC. Wartawan ini mungkin memerlukan beberapa ribu ringgit untuk menampung bil perubatan, membeli buku sekolah untuk anak-anak mereka atau perbelanjaan urusan pengebumian orang tersayang," katanya.
Selain itu, katanya, keutamaan NPC tahun ini adalah untuk menghidupkan semula Anugerah Media NPC bagi mengiktiraf pengorbanan, dedikasi dan usaha keras petugas media semasa wabak COVID-19.
Selain Ahiruddin, bekas editor eksekutif Malay Mail, Haresh Deol, yang kini mengendalikan portal berita hal ehwal semasa TwentyTwo13, dipilih semula sebagai timbalan presiden manakala Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Mokhtar Hussain dilantik semula sebagai Penasihat NPC.
Mesyuarat itu juga melantik wartawan veteran Datuk Nuraina Samad, Tony Emmanuel dan Datuk Yong Soo Heong sebagai pemegang amanah.
Berikut senarai kepimpinan NPC 2021-2023:
Presiden: Datuk Ahirudin Attan
Timbalan Presiden: Haresh Deol
Naib Presiden: Murhayani Othman (Bernama)
Setiausaha Kehormat: Zaidi Azmi (The Mole)
Penolong Setiausaha Kehormat: Ismail Rashid (Bernama TV)
Bendahari: K. Sivanesan (Makkal Ossai)
Penolong Bendahari: L. Jaiarajoo (FireTV)
Ahli Jawatankuasa: Pearl Lee, Zaharin Mat Noor, S.P. Mani, Farrah Naz Karim, Sharanjit Singh, T. Ananthan, Tony Mariadass, Joseph Fernando
Juruaudit: Veera Pandiyan, Graig Nunis
-- BERNAMA