RMK11: Peruntukan mampu diperoleh dengan penambahbaikan kutipan cukai - Ahmad Maslan

Bernama
Mei 23, 2015 08:41 MYT
AHMAD: Peruntukan sebanyak RM260 bilion itu perlu diperolehi melalui kutipan cukai LHDN seperti cukai pendapatan, duti setem dan cukai korporat.
Peruntukan perbelanjaan pembangunan untuk pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) diyakini dapat diperoleh antaranya menerusi usaha penambahbaikan percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, menerusi langkah penambahbaikan percukaian negara, ia secara tidak langsung mampu menjana pendapatan lebih tinggi sekali gus menjayakan agenda RMK11.
"Bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM260 bilion untuk perbelanjaan pembangunan RMK11 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, peruntukan ini antaranya perlu diperolehi melalui kutipan cukai LHDN seperti cukai pendapatan, duti setem dan cukai korporat.
Sebab itu kita perlu tingkatkan kecekapan pengutipan cukai ini supaya pelaksanaan RMK11 dapat berjalan lancar dan berjaya," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Khidmat Hasil, LHDN di sini pada Jumaat.
Beliau berkata penambahbaikan pencukaian itu perlu bertumpu kepada empat kaedah iaitu e-Filing, pendidikan percukaian, pengauditan dan penguatkuasaan.
Katanya, menerusi kaedah e-Filing, LHDN perlu menggunakan kecekapan teknologi baharu sepenuhnya bagi membantu rakyat membayar cukai dengan mudah dan menerusi kaedah itu ia turut menggalakkan mereka untuk membayar cukai.
"Rakyat juga seharusnya didedahkan dengan pendidikan percukaian supaya mereka memahami konsep percukaian...antara punca Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak disenangi adalah kerana kesedaran percukaian belum mendasari pemikiran rakyat Malaysia.
Dari segi penambahbaikan pengauditan, kita mahu ia dibuat dari semasa ke semasa bagi mengelakkan pemilik syarikat menyembunyikan keuntungan mereka... begitu juga dari segi penguatkuasaan, kita mahu pihak yang enggan dan gagal membayar cukai diberi pengajaran," katanya.
Menerusi pembentangan RMK11 di Dewan Rakyat pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM260 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan RMK11.
Dalam perbelanjaan pembangunan itu, Najib menggariskan banyak projek infrastruktur yang akan dilaksana, dan teras perancangan itu berobjektif menyediakan rakyat bagi maksud menjadi warganegara sebuah negara maju.
#Ahmad Maslan #kutipan cukai #LHDN #RMK11
;