RMK11: Media sosial jadi wadah luahan rasa rakyat Malaysia
Kohilah Sekaran
Mei 21, 2015 19:00 MYT
Mei 21, 2015 19:00 MYT
Isu yang hangat diperkatakan rakyat Malaysia hari ini ialah pembentangan intipati Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016-2020 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen yang merangkumi teras strategik untuk merealisasikan matlamat Malaysia sebagai negara maju dan inklusif.
RMK11 merupakan rancangan pembangunan lima tahun terakhir ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.
Wawasan yang dilancarkan pada tahun 1991 itu menggariskan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju dalam semua aspek iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan budaya menjelang tahun 2020.
Antara yang dibincangkan oleh Najib hari ini ialah meningkatkan produktiviti buruh dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, memperkukuh infrastruktur untuk menyokong perkembangan ekonomi, merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran dan menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan.
Dalam perkembangan sama, media sosial seperti Twitter dan Facebook menjadi wadah luahan pendapat pengamal media sosial berkaitan RMK11 ini.
Nampaknya, kebanyakan pengguna tidak melepaskan peluang untuk meluahkan kritikan mereka terhadap rancangan ini.