RMK11: Lima projek pembangunan infrastruktur jadi cabaran buat KKR

Astro Awani
Mei 21, 2015 21:44 MYT
FADILLAH: KKR akan memastikan bangunan baharu kerajaan menerapkan ciri dan reka bentuk hijau serta menggunakan bahan binaan mesra alam berdasarkan Skim Penarafan Hijau Jabatan Kerja Raya (JKR).
Enam strategi tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan strategi kelima iaitu pembangunan infrastuktur menjadi tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan dalam sebuah kenyataan media bahawa terdapat lima projek utama di bawah seliaan KKR dibentangkan Perdana Menteri dalam RMK11 hari ini.
“Projek itu adalah Projek Lebuhraya Pan Borneo, Projek Central Spine Road (CSR), Lebuhraya Kota Bahru-Kuala Krai, Projek Lebuh Raya Pantai Barat dan pembinaan rangkaian jalan di dalam Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang.
“Kementerian akan memastikan projek-projek ini akan dilaksanakan mengikut piawaian dan standard yang ditetapkan,” ujar beliau.
Tambahnya, kelima-lima projek itu merupakan projek pembinaan akses yang terbesar dalam RMK11 serta dijangka memberi impak positif kepada rakyat seterusnya membuka ruang dan peluang ekonomi kepada rakyat sehinggalah kepada pemain industri pembinaan.
Sementara itu, dalam konteks meningkatkan kemampanan dalam sektor pembinaan, KKR dan juga Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah menggerakkan rangka dasar penggunaan dan pengeluaran mapan yang menjadi asas dalam RMK11.
“Ini bertujuan untuk mengukuhkan dasar sedia ada, mengurangkan penggunaan sumber asli, mengurangkan pengeluaran asap, bahan buangan dan pencemaran lain sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan.
“Di bawah kerangka dasar ini, industri pembinaan akan menjadi sektor utama yang akan diketengahkan,” jelas Fadillah.
Sementara itu, KKR juga menurutnya, akan memastikan bangunan baharu kerajaan menerapkan ciri dan reka bentuk hijau serta menggunakan bahan binaan mesra alam berdasarkan Skim Penarafan Hijau Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala bangunan sedia ada akan diretrofit secara berperingkat.
“Ia salah satu fokus baru yang akan turut menyumbang ke arah menjamin daya tahan bangunan daripada ancaman perubahan iklim serta cuaca ekstrem,” kata beliau.
#Fadillah Yusof #Kementerian Kerja Raya #Rancangan Malaysia ke-11 #RMK11 #Wawasan 2020
;