RMK11: Kerjasama sektor swasta perlu untuk bangun rumah mampu milik

Syafique Shuib
Mei 21, 2015 20:59 MYT
FAIZUL: Pihak kerajaan perlu bekerjasama dengan pihak swasta jika ia mahu membina 653,000 unit rumah mampu milik di bawah RMK11.
Kerajaan perlu bekerjasama dengan sektor swasta untuk membangun rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada Khamis berkata sejumlah 653,000 unit rumah mampu milik akan dibina oleh pelbagai pihak.
Pakar hartanah, Faizul Ridzuan berkata ini merupakan satu jumlah yang besar dan pemaju hartanah nombor satu di Malaysia hanya mampu untuk membina 20,000 hingga 30,000 unit perumahan setahun.
“Kalau kerajaan mahu membangun lebih kurang 130,000 unit rumah setahun, itu merupakan tidak realistik. Namun ia masih boleh dilakukan jika pihak kerajaan bekerjasama dengan pihak swasta.
“Jikalau pihak swasta diberikan insentif, pasti mereka akan membantu membangunkan rumah mampu milik ini. Ini juga kerana mereka mempunyai kepakaran, jadi lebih baik ia diberikan kepada mereka sahaja,” katanya.
Dengan insentif seperti pelepasan cukai, GST, atau mengurangkan kos bekalan sebagai contoh, Faizul percaya ia akan menarik lebih banyak pemaju hartanah untuk membangunkan rumah mampu milik.
“Keuntungan pemaju hartanah terjamin kerana permintaan untuk rumah mampu milik ada. Memang orang akan beli,” jelas Faizul.
Faizul turut berharap pihak kerajaan dapat menjelaskan definisi “rumah mampu milik”.
“Buat masa ini, definisi masih kurang jelas berdasarkan lokasi dan jenis rumah. Sebagai contoh, sebuah rumah tiga bilik berharga RM300,000 di Kuala Lumpur boleh dikatakan sebagai rumah mampu milik. Cuba kalau lokasi rumah berkenaan di Rawang? Adakah ia masih rumah mampu milik?” tanya Faizul.
Beliau turut berkata bahawa pembinaan rumah mampu milik sangat bagus kerana secara amnya pihak kerajaan akan membina rumah kos rendah manakala pemaju swasta akan fokus kepada rumah kos tinggi, Masih ada permintaan untuk rumah mampu milik bagi golongan Gen-Y," katanya.
Pada pembentangan RMK11, Najib berkata 74,300 unit rumah mampu milik telah dibina oleh sektor swasta di pelbagai negeri dalam tempoh RMK10.
“Rumah tempat tinggal, dan bumbung tempat berlindung dari panas dan hujan, adalah antara tiga keperluan asas kehidupan kepada semua.
“Seiring ini, bagi meneruskan agenda pemilikan perumahan rakyat, semenjak 2013, kerajaan mensasarkan untuk membina 1 juta rumah mampu milik untuk rakyat.
“Jadinya, bagi merealisasikan sasaran tersebut, pembinaan perumahan mampu milik kepada rakyat dibuat melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan sektor swasta antaranya, menerusi program PR1MA, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia,” kata Najib dalam ucapan beliau.
#Faizul Ridzuan #Najib Tun Razak #Rancangan Malaysia ke-11 #RMK11 #rumah mampu milik
;