RMK-12 tepati hasrat MA63 - Alexander Nanta Linggi

Umavathi Ramayah
September 27, 2021 16:11 MYT
Alexander Nanta Linggi memberitahu, secara kasarnya mungkin tidak diperincikan mengenai MA63 secara mendalam tetapi dari segi konsepnya ada disebut. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dilihat memberi penekanan terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak khususnya melalui aspek rakan kongsi setaraf dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu, secara kasarnya ia mungkin tidak diperincikan secara mendalam tetapi dari segi konsepnya ada disebut.
"Ya benar, dia menepati hasrat MA63, itu yang kita mahukan dari sudut Sabah dan Sarawak, kita mahukan dikembalikan kuasa-kuasa yang sudah terhakis selama ini.
"Selain itu, kita mahu fokus dan peruntukan yang lebih. Kalau betul-betul dilaksanakan seperti yang dirancang, ia boleh direalisasikan," katanya di Pusat Media Parlimen di sini, pada Isnin.
Dalam sidang media berasingan, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan RMK-12 sebagai tepat pada masa dan bersesuaian dengan falsafah Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri.
BACA: [LAPOR LANGSUNG]: RMK-12 - Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan
Katanya, selain menaiktaraf pusat internet desa dan pusat komuniti desa menjadi pusat digital Keluarga Malaysia, antara yang disentuh dalam pembentangan RMK-12 adalah berhubung jurang digital luar bandar dan bandar serta memperkenalkan e-dagang.
"Jadi saya selaku Menteri Luar Bandar mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana pembentangan tadi banyak yang berkaitan dengan urusan serta pentadbiran luar bandar," tambahnya.
Mengulas lanjut, Mahdzir memberitahu, perdana menteri turut menamakan beberapa negeri seperti Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu yang perlu diberi peruntukan serius.
#Mahdzir Khalid #Perjanjian Malaysia 1963 #Parlimen #Dewan Rakyat #MA63
;