RMK-12: 'Selesaikan dahulu isu utama di Sabah'

Madiha Abdullah
Oktober 1, 2021 05:58 MYT
Antara kelemahan RMK-12 adalah kurangnya kesungguhan dalam agenda pelonjakan ekonomi di Sabah. - Foto/Facebook@/mysabahinfo
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyelesaikan perkara pokok yang menjadi isu kepada negeri Sabah, sebelum Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) boleh dilaksanakan dengan jayanya.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, antara kelemahan RMK-12 adalah kurangnya kesungguhan dalam agenda pelonjakan ekonomi di negeri bawah bayu itu.
"Apa-apa pun kena selesaikan dahulu isu pokoknya. RMK-12 dari segi objektif, tidak banyak beza dengan yang sebelum ini kerana menyebut tentang kemakmuran dan perpaduan. Dalam RMK-12 ia disebut sebagai inklusiviti dan juga kemampanan.
"Ekonomi yang mampan pada saya adalah apabila sumbangan GDP dalam sektor pembuatan sebanyak 30 peratus. Di Sabah, sektor pembuatan cuma sumbang 7.2 peratus, sektor perkhidmatan yang tertumpu kepada pelancongan pula 40 peratus.
"Kalau aspek kemampanan ekonomi, kita perlukan sektor pembuatan. Perlu tarik pelabur yang berkualiti dan hal ini bukan masalah kerana kita ada destinasi pelaburan seperti kawasan-kawasan industri.
"Masalah utama ialah kos melabur yang tinggi di Sabah, kerana adanya isu-isu membabitkan keperluan asas seperti air, elektrik, capaian dan logistik.
"RMK-12 ada sebut tentang perkara asas ini tetapi kandungannya tidak ada kesungguhan kerana yang buat RMK-12 ini orang di Putrajaya, mereka tidak berdialog secara langsung dengan pihak yang berkaitan," katanya dalam sesi webinar anjuran Yayasan WISDOM bertajuk Kesenjangan Dalam Pembangunan Sabah: Merapatkan Jurang Dalam RMK-12, pada Jumaat.
Tambah Madius, ini sekaligus membayangkan ketidakseimbangan dalam perancangan RMK-12 kerana ia sepatutnya memberi tumpuan kepada destinasi pelaburan di Sabah.
Hampir senada dengan Madius ialah pakar ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram yang berpendapat, tidak ramai pihak yang nampak dan faham situasi sebenar di Sabah.
"Dalam RMK-12, tiada analisis yang teliti mengapa situasi kemiskinan di Sabah masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif. Lapan daripada 10 buah daerah termiskin di Malaysia ada di Sabah, mengapa?
"Kena tengok balik, apakah projek yang katanya nak bantu Sabah itu benar-benar membantu? Contoh projek paip gas, siapa yang akan dapat manfaatnya? Adakah ia akan jadi daya tarikan kepada Sabah?
"Kerajaan sekarang majoriti tipis. Mereka tentu nak pastikan terus ada majoriti dan kalau boleh nak tambah lagi terutama dalam Parlimen, jadi mereka akan buat apa yang perlu dibuat.
"Tetapi keikhlasan dan kesungguhan mereka, hanya rakyat yang boleh menilainya," ujarnya.
RMK-12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, menetapkan hala tuju strategik berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’.
RMK-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 merangkumi sembilan fokus utama, iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi; memperkukuh pemangkin pertumbuhan; meningkatkan kesejahteraan keluarga Malaysia; memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam dan membasmi kemiskinan tegar serta merapatkan jurang pendapatan.
Turut menjadi fokus utama ialah memperkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia; melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun.
#Sabah #Wilfred Madius Tangau #ekonomi #RMKe-12
;