RMK-12: Santuari Gajah Perak bakal dibangunkan

Abd Razak Mohd Ali
Julai 18, 2020 16:26 MYT
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah memindahkan seekor gajah liar yang ditangkap di Kampung Memali ke Hutan Simpan Royal Belum, Gerik, Perak pada Ogos tahun lalu. - Gambar fail/BERNAMA
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan membina sebuah Santuari Gajah Perak (PES) di Batu 11, Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Gerik, Perak.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata projek itu telah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan kajian mengenainya sedang dibuat.
“Itu kawasan baru yang kita bangunkan berasaskan pelancongan di samping kita menyelesaikan konflik gajah di negeri Perak.
“Dalam waktu yang sana juga di Pulau Mata Kail di bawah Jabatan Perhilitan juga kita peruntukkan RM1.2 juta untuk membina menara tinjau bagi membolehkan menjadi mercu tanda di situ untuk menggalakkan pelancong hadir ke kawasan itu,” katanya.
Beliau ditemui media selepas melawat tapak projek Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Changkat Berangan di Lenggong, pada Sabtu.
Beliau pada masa sama berharap projek tersebut dapat dimulakan tahun hadapan.
Menurutnya, Santuari Gajah Perak berbeza dengan Santuari Gajah yang terdapat di Pahang dan Johor kerana pihaknya melihat terdapat keperluan untuk membina santuari dengan konsep berbeza bagi memberi impak kepada industri pelancongan.
#Datuk Shamsul Anuar Nasarah #Menteri Tenaga dan Sumber Asli #pelancongan #RMK12 #santuari gajah #sektor pelancongan
;