RMK-12: Sabah tidak diabai, 1,039 projek bernilai RM5 bilion diluluskan - PM

Ruzaini Zulkepli
Mac 22, 2021 11:10 MYT
Muhyiddin berkata, pihaknya memberi jaminan banyak peluang pelaburan akan dibawa ke Sabah dengan penyusunan strategik dan mapan di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menekankan layanan yang adil dalam pembentukan dan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan memperuntukan sumber kewangan dalam pembangunan negeri Sabah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuk perancangan dan pelaksanaan inisiatif yang telah dijalankan bagi memenuhi hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Beliau berkata, bagi negeri Sabah, keprihatinan untuk memastikan penyampaian dan perancangan dapat dilakukan secara optimum bagi manfaat semua lapisan masyarakat di negeri itu.
"Selaras dengan salah satu objektif utama WKB 2030 iaitu Pembangunan untuk semua, sehubungan itu kerajaan komited untuk memastikan pembangunan yang mampan di setiap negeri termasuk di Sabah.
"Untuk Rolling Plan Pertama (RP1) 2021 RMK-12, sebanyak 1,039 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM5.01 billion telah diluluskan khusus untuk negeri Sabah bagi pelaksanaan projek-projek merentasi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan," katanya.
BACA: PM tiba di Sabah untuk lawatan rasmi dua hari
BACA: Kerajaan terus komited bangunkan ekonomi Sabah - Muhyiddin
Beliau berkata demikian dalam ucapan bersempena majlis perasmian Sesi Balai Rakyat WKB2030 di Dewan Bankuasi, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, pagi tadi.
Hadir sama adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Redzuan Md Yusof dan Menteri-Menteri Kabinet negeri.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, pihaknya memberi jaminan banyak peluang pelaburan akan dibawa ke Sabah dengan penyusunan strategik dan mapan di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Saya yakin bahawa Sabah mempunyai potensi yang amat besar dalam menarik pelaburan dari dalam dan luar negara memandangkan kedudukan yang strategik di rantau ini serta kekayaan sumber asli.
"Sebagai contoh, pengembangan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar atau Sapanga Bay Container Port di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) berpotensi menarik pelaburan asing bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan taraf sosio-ekonomi Sabah," katanya.
Muhyiddin yang dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Sabah itu memulakan programnya hari ini dengan menghadiri Taklimat Pembangunan Sabah di Pejabat Ketua Menteri, PPNS, Kota Kinabalu, pada jam 8 pagi tadi.
Muhyiddin juga akan melawat Pusat Vaksinasi COVID-19 daerah Kota Kinabalu di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kota Kinabalu.
Amanah Rakyat | PM ingatkan pemimpin kerajaan Negeri Sabah
#Bantuan kewangan Sabah #projek pembangunan #Sabah #RMK-12 #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 #WBK2030
;