RMK-12: Rakyat harap strategi ekonomi lebih mampan, berdaya tahan

Astro Awani
September 26, 2021 18:35 MYT
Esok Perdana Menteri dijangka membentangkan RMK-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara di Dewan Rakyat. - Gambar hiasan
MELAKA: Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok adalah antara agenda penting yang dinanti-nantikan rakyat negara ini.
Rata-rata rakyat menunggu untuk melihat perancangan kerajaan untuk memulihkan negara terutama daripada krisis ekonomi dan kesihatan yang sedang dihadapi.
Tinjauan di Melaka hari ini, mendapati rakyat mengakui tempoh lima tahun akan datang adalah jangka masa yang amat mencabar bagi negara untuk bangkit kembali dalam fasa pascapandemik COVID-19.
Seorang pemandu lori, Mohd Khaizid Md. Kaus, 45, berharap kerajaan dapat merangka strategi ekonomi yang lebih mantap agar sektor perniagaan dalam negara dapat dipulihkan.
"Saya harap Perdana Menteri dapat buat yang terbaik untuk negara kita, terutama usaha bagi memulihkan ekonomi dan mengembalikan serta meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia.
"Pasti kita berharap ada perancangan jangka pendek dan panjang, namun harapan rakyat kesan pemulihan akan dapat dilihat dalam kadar segera," katanya.
Peniaga makanan, Siti Aminah Ahmad, 48, meminta kerajaan menyediakan lebih banyak saluran bantuan dan pinjaman bagi membantu golongan sepertinya membangunkan semula perniagaan yang terjejas akibat pendemik COVID-19.
"Harapnya kerajaan tambah banyak saluran bantuan untuk bantu rakyat. Bagi peniaga kecil seperti saya, kami harap ada bantuan dana untuk memulihkan kembali perniagaan yang terjejas," katanya.
Pekerja swasta, Muhammad Haikal Zaini, 24, berkata harapan rakyat secara keseluruhan adalah RMK-12 dapat meningkatkan daya tahan ekonomi negara supaya tidak terjejas dengan sebarang gangguan atau krisis.
"Kita berharap perancangan lima tahun ini mengambil kira semua kemungkinan, supaya apabila ada krisis, pendapatan rakyat tidak terjejas lagi untuk satu jangka masa yang sesuai," katanya.
Esok Perdana Menteri dijangka membentangkan RMK-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara di Dewan Rakyat.
Bersesuaian tema Keluarga Malaysia, RMK-12 dijangka memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan perlindungan sosial yang merupakan penggerak ekonomi negara.
#RMKe-12 #ekonomi negara #daya tahan #suara rakyat
;