RMK-12: Penduduk Selangor harap WST 2040 dapat dilaksanakan segera

Eton Khir
September 28, 2021 21:16 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentangan RMK-12 berkata pelaksanaan agenda tersebut adalah bagi menetapkan hala tuju strategik bagi memastikan sektor air sebagai pemacu pertumbuhan yang dinamik negara. - Gambar fail
SHAH ALAM: Pelaksanaan Agenda Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040) seperti yang diumumkan menerusi pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada Isnin adalah sesuatu yang amat disambut baik, khususnya oleh penduduk negeri Selangor.
Ia berikutan situasi yang dihadapi mereka berkaitan isu air dilihat sebagai satu beban yang tidak pernah berkesudahan.
Tinjauan Astro AWANI di beberapa kawasan di sini yang kerap terjejas akibat masalah air tidak berjadual mendapati rata-rata penduduk berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan segera dengan usaha kerajaan menerusi WST 2040 ini.
Menurut seorang penduduk pangsapuri yang juga seorang peniaga, Nurul Asmin Azleen, 25, ketiadaan air menyukarkan orang ramai terutamanya kepada mereka yang terpaksa mengangkut tong-tong air setiap hari apabila berlaku gangguan bekalan air.
Perkara itu diburukkan lagi dengan ketiadaan perkhidmatan lif di kawasannya.
"Bagi saya baguslah diadakan (WST 2040). Nampaklah (kerajaan) prihatin, ambil tahu pasal rakyat sebab dikatakan Selangor kerap ketiadaan air. Boleh dikatakan dalam setahun adalah sebulan atau dua bulan.
"Saya setuju sebab air adalah keperluan utama untuk semua orang dan untuk mendapatkan air yang bersih saya terpaksa ke tempat lain untuk mengangkut tong-tong air. Adakalanya hampir seminggu juga jika menghadapi isu air ini dan ianya agak membebankan," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Buat seorang pekerja swasta, Muhammad Firas Sa'Adi Halim, 24, masalah gangguan bekalan air sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti hariannya yang adakalanya memakan masa sehingga berhari-hari.
"Sebab saya tinggal di pangsapuri, nak ambil air semua itu susah dengan tiada lif, jadi terpaksa menyediakan air di dalam tong untuk sehari dua atau seminggu. Jika lebih lama isu itu berlarutan, lebih lama saya terpaksa hadap dan tong air juga perlu banyak serta turut menyukarkan saya untuk pergi bekerja," katanya.
Sementara itu, bagi penduduk Seksyen 7, Shah Alam, Norhisham Abdul Manap, 50, banyak aduan telah dibuat berhubung situasi tersebut, namun masalah air yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu masih belum dapat diselesaikan.
"Pada saya baguslah (dilaksanakan WST 2040) kerana isu ini telah lama berlarutan di Selangor dan tiadanya perubahan. Seharusnya isu telah lama diselesaikan.
"Ia sebenarnya mendatangkan masalah kepada penduduk di Seksyen 7, 4 dan 5 khususnya yang tinggal di pangsapuri dan di tingkat yang tinggi-tinggi yang terpaksa berulang turun naik untuk mendapatkan air. Selain itu, kepada mereka yang ada anak-anak kecil, yang memerlukan air sentiasa,” kata perngawal keselamatan itu.
Manakala bagi suri rumah, Siti Fareeza Hasim, 33, dia berharap agar isu ini dapat diselesaikan menerusi perancangan di bawah WST 2040 dengan segera kerana selain daripada gangguan bekalan, penduduk juga gusar akan tahap kebersihan air yang selama ini mereka gunakan, khususnya kerana melibatkan minuman dan makanan.
"Saya rasa memang sangat baguslah (dilaksanakan WST 2040). Jika boleh dipercepatkan inisiatif ini kerana sebelum ini pun Selangor terkenal dengan masalah dan pencemaran airnya.
"Kadang-kala sempat, kadang-kala tidak menerima notis. Apabila sempat, kita bersedia untuk tadah air dan jika tidak, terpaksalah saya mencari inisiatif lain. Isu lain pula, apabila ianya melibatkan minuman dan makanan. Apabila ada air, namun kotor pula dan oleh kerana itu setiap rumah di kawasan ini harus ada penapis air mereka sendiri untuk mengelakkan isu seperti yang saya katakan tadi," katanya.
Buat pelajar Uniten, Saidatul Habsah Asman, 28, pula sekurang-kurangnya inisiatif kerajaan ini akan sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah air di negeri itu.
"Saya rasa Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini salah satu usaha yang bagus untuk menyelesaikan masalah air yang kerap kali kita hadapi.
"Perkara ini juga dapat mengurangkan atau meminimumkan masalah air yang tidak berjadual terutamanya dalam kalangan penduduk dan saya rasa usaha ini perlu dipercepatkan bagi mengatasi masalah ini daripada terus berlarutan," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentangan RMK-12 semalam berkata pelaksanaan agenda tersebut adalah bagi menetapkan hala tuju strategik bagi memastikan sektor air sebagai pemacu pertumbuhan yang dinamik negara, di samping memastikan jaminan bekalan air untuk semua yang terlibat.
Transformasi akan dilaksanakan melalui empat fasa transformasi iaitu fasa satu RMK12 (2021-2025), mempergiatkan penerimagunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM); fasa dua RMK13 (2026-2030) membangunkan teknologi tempatan setanding dengan standard antarabangsa; fasa ketiga RMK14 (2031-2035) mencapai ekonomi bidangan dan fasa keempat RMK15 (2036-2040), menjadi hab industri air serantau.
#Agenda Transformasi Sektor Air 2040 #WST 2040 #RMKe-12 #masalah air
;