RMK-12: Pelan untuk urus PATI, tambah baik kawalan sempadan, perkukuh diplomasi pertahanan

Firdaus Azil
September 27, 2021 16:22 MYT
Inisiatif tersebut, menurut dokumen itu lagi, penting bagi memastikan negara selamat serta mengekal dan menggalakkan kestabilan serantau.
KUALA LUMPUR: Satu pelan yang menyeluruh akan dirangka bagi menguruskan pendatang asing tanpa izin (PATI), menambah baik kawalan sempadan dan memperkukuh diplomasi pertahanan.
Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Isnin, langkah tersebut diambil bagi memelihara kedaulatan negara daripada PATI, aktiviti menyalahi undang-undang di sempadan serta meningkatkan keupayaan pertahanan.
Inisiatif tersebut, menurut dokumen itu lagi, penting bagi memastikan negara selamat serta mengekal dan menggalakkan kestabilan serantau.
Mengurus ancaman PATI dan kegiatan di sempadan
“Pelan yang menyeluruh akan dirangka bagi menguruskan PATI, merangkumi strategi untuk menambaih baik dasar operasi penguatkuasaan, kawalan sempadan, pengurusan pendatang asing, serta pelaporan media dan publisiti.
“Pelan ini merangkumi penambahbaikan sistem penguatkuasaan dalam menangani warga asing yang memasuki secara sah, tetapi bekerja selepas tamat tempoh permit,” menurut dokumen itu lagi.
RMK-12: Pastikan keselamatan rakyat, kedaulatan negara
Selain itu, ia turut menggariskan usaha memperkukuh kerjasama strategik dengan kerajaan negeri, bagi memastikan peningkatan penglibatan komuniti dalam memberi maklumat terutamanya berkaitan PATI.
Peranan pemimpin komuniti akan diperkasa dan program kesedaran kepada orang awam akan dipertingkat bagi membantu agensi penguatkuasa dalam menyekat kebanjiran PATI.
Tidak ketinggalan, RMK-12 turut menggariskan, kawalan sempadan akan ditambah baik melalui operasi bersama, dan rondaan sempadan di darat dan wilayah maritime, melibatkan ATM dan agensi penguatkuasa bagi membendung kemasukan tanpa izin.
Bilangan pos keselamatan di sempadan antarabangsa, terutamanya di wilayah Sabah dan Sarawak juga akan ditambah.
“Pengawasan akan diperkukuhkan lagi melalui penggunaan teknologi terkini, termasuk sensor, radar, kamera litar tertutup, dan dron, untuk mengimbangi jumlah anggota yang terhad, serta kawasan yang sukar diakses.
“Kawalan maritim juga akan diperketat untuk membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti pelanunan, penyeludupan, dan pencerobohan oleh kapal negara asing,” menurut dokumen itu lagi.
Dokumen tersebut menyebut, kerjasama dalam negara dan serantau juga akan dipergiat, terutama dalam operasi penguatkuasaan bersama, serta pertukaran maklumat mengenai aktiviti perdagangan haram dan penyeludupan.
Mempertingkat keupayaan dan kemampuan pertahanan
Keupayaan dan kemampuan pertahanan akan dipertingkat bagi memelihara kedaulatan negara, seperti yang tergaris dalam Kertas Putih Pertahanan.
Sehubungan itu, menurut RMKe-12, kupayaan ketenteraan akan diperkukuh dalam aspek perisikan, pengawasan, perolehan sasaran, dan peninjauan.
Keselamatan maritim juga akan diperkukuh, terutama dalam aktiviti pengawasan dan penguatkuasaan, serta keberadaan di laut, bagi melindungi kepentingan dan sosioekonomi negara dan keselamatan.
Memperkukuh diplomasi pertahanan
Selain itu, melalui RMKe-12, diplomasi pertahanan akan dipergiat melalui kerjasama dua hala, dan pelbagai hala, bagi mengurang dan mengelakkan konflik.
“Kerjasama dengan negara luar dan rakan strategik akan diperkukuh melalui memorandum persefahaman (MoU), dan memorandum perjanjian (MoA), termasuk menggalakkan latihan dan eksesais bersama.
“Kerjasama ini membolehkan perkongsian pengalaman dan maklumat, memperoleh pengetahuan teknikal, serta memperkukuh rangkaian dan hubungan antarabangsa,” menurut dokumen itu lagi.
Menurut RMKe-12, dasar industri pertahanan dan keselamatan negara akan digubal bagi menyediakan hala tuju menyeluruh bagi, mengurangkan kebergantungan aset dan peralatan dari luar negara.
Dasar itu, bakal memberi tumpuan kepada pembangunan produk dan perkhidmatan, pembangunan bakat, penerimagunaan teknologi, serta aktiviti R&D, seterusnya akan mengurangkan kebergantungan yang tinggi terhadap sumber asing.
#Rancangan Malaysia Ke-12 #pengurusan PATI #kedaulatan negara #diplomasi pertahanan #RMKe-12
;