RMK-12: Pelaksanaan kunci pacu pembangunan negara - Tok Pa
Faris Danial Razi
September 28, 2021 23:44 MYT
September 28, 2021 23:44 MYT
KUALA LUMPUR: Isu utama dalam memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju dengan ditunjangi Rancangan Malaysia Ke-12 adalah pelaksanaannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan, pihaknya menerima baik setiap kritikan yang diberikan kerana perkara itu yang mendorong kerajaan untuk bekerja lebih keras.
“Isu utama adalah pelaksanaan, sekarang di Parlimen mula perbahasan hari ini iaitu hari pertama dan ramai yang mempertikaikan kemampuan kita untuk melaksanakan rancangan yang cantik atas kertas.
“Kerajaan menerima baik kritikan ini dengan hati yang terbuka, kritikan membina dan ini sebenarnya mendorong kita untuk bekerja dengan lebih keras lagi.
“Jadi cara pelaksanaan ini perlu ada kerjasama daripada kerajaan dan juga swasta dan sekarang ini kita mengiktiraf badan-badan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) sebagai rakan dalam pembangunan,” jelas beliau ketika ditemu bual menerusi Agenda AWANI pada Selasa.
Agenda AWANI: RMK12 - Keluarga Malaysia Pacu Realiti Baharu Malaysia
Tambah Ahli Parlimen Jeli itu lagi, selain pelaksanaan, antara perkara yang menjadi fokus adalah dari segi pemantauan.
“Kita sudah ada rangka bagi mantau setiap rancangan kita telah tetapkan. Umpamanya, saya sebut berkaitan dengan Felda, Felda kita telah pulih, Felda ada banyak masalah berkaitan hutang yang kita telah bantu tapi apakah perancangan masa depan untuk pastikan Felda lebih mampan lagi?” kata Mustapa atau lebih mesra disapa dengan gelaran Tok Pa.
Terdahulu, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM) menegaskan tidak pernah membelanjakan wang sebanyak RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Ia sekali gus menafikan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan usul RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.