RMK-12 pandu Malaysia capai negara berpendapatan tinggi - Mustapa

Astro Awani
Oktober 20, 2021 14:45 MYT
Menurut Mustapa, kerajaan akan mempertingkat akses kepada pendidikan, kesihatan dan perumahan, termasuk menambah baik kualiti hidup miskin bandar terutama di PPR. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal komited untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hasrat itu mampu dicapai menerusi perancangan dan pelaksanaan agenda di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
"Kerajaan akan memperhebat usaha membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terutama peniaga kecil dengan meningkatkan pendapatan dan program pembangunan kapasiti di kawasan bandar dan luar bandar selain menggalakkan keusahawanan dan akses kepada fasiliti kewangan.
"Pada masa sama, kerajaan akan mempertingkatkan akses kepada pendidikan, kesihatan dan perumahan, termasuk menambahbaik kualiti hidup miskin bandar terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kepimpinan Perdana: Perniagaan Norma Baharu secara maya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, terdapat beberapa perkara lain yang perlu diberi tumpuan termasuk kelestarian dalam memastikan Malaysia menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.
Jelasnya, RMK-12 juga akan menyediakan pembangunan seimbang merentasi wilayah dan negeri dalam memastikan setiap rakyat dapat menikmati pembangunan secara saksama.
#RMK-12 #mencapai negara maju #Malaysia berpendapatan tinggi #Mustapa Mohamed
;