RMK-12: Kerajaan sasar lebih ramai rakyat Malaysia miliki rumah mampu milik
Firdaus Azil
September 27, 2021 16:05 MYT
September 27, 2021 16:05 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengguna pakai tiga strategi utama bagi meningkatkan bekalan rumah mampu milik yang berkualiti.
Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Isnin, tiga strategi berkenaan ialah: - menambah baik akses kepada rumah mampu milik, mempertingkat tadbir urus; dan memastikan perumahan inklusif.
Berdasarkan dokumen berkenaan, langkah itu adalah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030, yang bermatlamat menyediakan akses kepada rumah yang mencukupi, selamat, dan mampu milik untuk semua.
Menambah Baik Akses kepada Rumah Mampu Milik
Menurut dokumen berkenaan, Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada akses rumah mampu milik yang berkualiti dan berdaya huni untuk rakyat, melalui agenda pemilikan rumah negara.
Penekanan, tambah dokumen itu lagi, akan diberi dalam menambah baik akses dan mempertingkat tadbir urus rumah mampu milik, serta memastikan pembangunan perumahan yang inklusif.
“Strategi ini adalah sejajar dengan WKB 2030 dan Agenda 2030, yang bermatlamat menyediakan akses kepada rumah yang mencukupi, selamat, dan mampu milik untuk semua,” menurut RMK-12.
Dalam pada itu , tanah milik kerajaan dan tanah wakaf akan dimanfaatkan bagi membolehkan pemilikan rumah mampu milik bagi kumpulan sasar terpilih.
“Inisiatif ini akan dicapai dengan menyediakan rumah mampu milik kepada kumpulan sasar, menambah baik akses kepada pembiayaan, dan menguruskan kos pembinaan,” menurut dokumen itu lagi.
Sementara itu, beberapa peraturan bakal diperkenalkan bagi mengehadkan pembelian kepada hanya sebuah rumah mampu milik bagi setiap warganegara yang layak.
Selain pangkalan data pemilik rumah mampu milik yang komprehensif, kerajaan juga akan memperkenalkan harga siling rumah mampu milik di pasaran sekunder, bagi mengawal harga rumah, khususnya di bandar.
Di samping tu, dasar pemisah dengan penyewa PPR yang ingkar akan dikuatkuasakan dengan tegas, bagi memastikan program ini hanya memberi manfaat kepada isi rumah yang layak.
Mempertingkat Tadbir Urus
Dalam pada itu, dokumen tersebut menyebut, Kerajaan akan meningkatkan tadbir urus rumah mampu milik pada peringkat Persekutuan, negeri, dan tempatan.
Melalui strategi itu, keupayaan institusi membina rumah mampu milik, menguatkuasakan piawaian perumahan, dan memantapkan peraturan dan perundangan bagi melindungi pembeli dan penyewa rumah, akan diperkukuh.
Antara langkah yang digariskan ialah, membangunkan pusat data perumahan, menguatkuasakan Piawaian Perumahan Berkualiti (PBB), serta menambah meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, bagi menambah baik peraturan dan perundangan sedia ada.
Memastikan Perumahan yang Inklusif
Menerusi RMK-12, pembinaan rumah mampu milik akan dijadikan prasyarat dalam pembangunan perbandaran baharu.
Sehubungan itu, garis panduan nasional akan dirangka sebagai rujukan kepada kerajaan negeri untuk membangunkan rumah mampu milik dalam pembandaran baharu.
“Ini bertujuan meningkatkan keterangkuman, dengan memastikan rakyat dari pelbagai segmen pendapatan, mampu mendiam perbandaran tersebut,” menurut dokumen itu lagi.