RMK-12: Kerajaan rangka strategi sosioekonomi kaum Cina, India

Umavathi Ramayah
September 27, 2021 11:30 MYT
Inisiatif itu selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan kesejahteraan isi rumah berpendapatan rendah semua kaum diberi keutamaan. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Strategi dan inisiatif untuk menangani kemiskinan serta permerkasaan B40 bagi meningkatkan sosioekonomi isi rumah kaum Cina dan India akan dilaksanakan tanpa mengira etnik.
Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Isnin, ia adalah selaras dalam memastikan kesejahteraan isi rumah berpendapatan rendah semua kaum terus diberi keutamaan.
"Dalam meningkatkan taraf hidup isi rumah Cina yang berpendapatan rendah di Kampung Baru, akses kepada kemudahan kewangan akan diteruskan dengan menyediakan pinjaman perniagaan untuk membantu meluaskan perniagaan mereka.
"Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru akan diperluaskan termasuk aktiviti mempromosi Kampung Baru sebagai destinasi pelancongan yang menarik," menurut dokumen itu.
RMK-12: Kerajaan komited membantu kaum Cina, India
Sementara itu, dokumen itu menyebut, selaras dengan Pelan Tindakan Masyarakat India, akses kepada pendidikan berkualiti akan ditambah baik manakala pencapaian pendidikan rendah dan isu keciciran dalam komuniti itu akan ditangani.
Pada masa yang sama, program bersesuaian seperti kursus pra dan pasca perkahwinan serta perkidmatan sokongan untuk keluarga yang berisiko tinggi akan disediakan bagi menangani isi keluarga dan belia yang bermasalah serta menyeluruh.
#Rancangan Malaysia Ke-12 #sosioekonomi #kaum cina #kaum india #RMKe-12
;