RMK-12: Kerajaan dicadang bentang laporan berkala di Parlimen - Shafie Apdal

Hasimi Muhamad
Oktober 4, 2021 15:25 MYT
Rekod dan pencapaian sejak RMK-8 hingga RMK-11, yang menelan kos RM860 bilion menunjukkan bahawa kerajaan gagal untuk mencapai Wawasan 2020, kata Shafie Apdal. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan membuat laporan berkala kepada Parlimen mengenai perbelanjaan RM400 bilion untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memandangkan ia rancangan Malaysia yang terbesar dalam sejarah negara.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini memandangkan rekod dan pencapaian sejak RMK-8 hingga RMK-11 yang menelan kos RM860 bilion menunjukkan bahawa kerajaan gagal untuk mencapai sasaran Wawasan 2020.
"Dari 1971 hingga 2015 kadar pertumbuhan adalah 6.2 peratus setahun, ia turun kepada 2.7 peratus setahun bagi tempoh 2016-2020.
"Pada tahun 2020 pula, Pendapatan Negara Kasar Malaysia pula adalah 20 peratus di bawah tahap negara maju. Ini bukanlah suatu perkembangan yang baik dan memberangsangkan, yang kita semua boleh banggakan.
"Manakala Rancangan Pembangunan Malaysia sebelum ini iaitu RMK-11 pula nampaknya jauh tersasar dari sasaran sebenar. Daripada enam Pencapaian Matlamat yang disasarkan, hanya satu saja yang menetapi sasaran. Manakala, bagi Sasaran Ekonomi Mikro terpilih, hanya dua daripada lapan sasaran yang ditepati," katanya ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Mengulas lanjut, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, ekuiti korporat rakyat tempatan sama ada bukan Bumiputera atau Bumiputera turut menurun kepada 30.7 peratus dan 16.2 peratus.
Jelas beliau lagi, cabaran globalisasi, liberalisasi, mahupun pandemik mungkin menyebabkan segala perancangan pembangunan negara tidak menepati sasaran.
Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan, di mana silapnya?
Bagaimanapun, tambah Mohd Shafie, adalah penting untuk kerajaaan menilai cara pelaksanaan, sama ada terdapat banyak ketirisan atau penyebab lain yang mengakibatkan pelan ekonomi negara tidak berjaya.
"Contohnya, Sabah dan Sarawak, dimana silapnya? Sabah dan Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli yang paling tinggi dalam negara. Namun, statistik menunjukkan Sabah dan Sarawak masih lagi jauh ketinggalan dari negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
"Justeru, Kerajaan perlu jujur dan tunaikan kesemua 21 tuntutan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang mana 17 daripadanya telahpun berjaya ditunaikan oleh Pakatan Harapan (PH) apabila mengambil alih tampuk pimpinan negaraselepas PRU-14 yang lalu," katanya.
Dalam masa sama, Mohd Shafie berkata, kerajaan juga digesa untuk mencari cara dan kaedah untuk mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar, wilayah, kaum, serta jurang antara kumpulan pendapatan terutamanya dalam golongan B40 dan miskan bandar.
"Ia perlu menjadi teras rancangan pembangunan negara. Hanya dengan mengurangkan jurang perbezaan, maka barulah kemakmuran dapat dirasai bersama secara saksama," katanya.
#Bumiputera #Parti Warisan Sabah #Mohd Shafie Apdal #RMK-12
;