RMK-12: Ada bab khusus untuk Sabah dan Sarawak - Tok Pa
Astro Awani
November 23, 2020 15:31 MYT
November 23, 2020 15:31 MYT
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) mencatat sejarah apabila buat kali pertama memasukkan bab khusus mengenai hal berkaitan Sabah dan Sarawak.
Pembaharuan yang dilakukan kerajaan berbanding RMK sebelum ini yang menayksikan dua negeri ini dimasukkan sekali bersama negeri-negeri lain.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata ini iltizam Kerajaan Persekutuan dalam mengembalikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada masa sama bagi memastikan jurang pendapatan antara dua negeri ini dengan kawasan lain di Malaysia akan dapat dikurangkan.
“Sebagai contoh jurang (pendapatan) antara Sabah dan Lembah Klang atau Kuala Lumpur misalnya 2.6 kali ganda.
“Bermakna pendapatan di Lembah Klang ini ialah 2.6 kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan di Sabah.
Sarawak pula ialah 1.3 kali ganda lebih rendah berbanding Lembah Klang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru kata Mustapha kerajaan berhasrat menangani perbezaan jurang pendapatan ini sebaik mungkin selain memberi keutamaan kepada pembinaan kemudahan dan infrastruktur di Sabah dan Sarawak.
Beliau turut memaklumkan akan mengadakan pertemuan bersama menteri dari Sabah dan Sarawak esok bagi mencerakinkan perkara ini secara terperinci.
Pembentangan RMK-12 yang sepatutnya dibentangkan pada 6 Ogos lepas ditangguhkan ke awal 2021.
#Dewan Rakyat
#Perjanjian Malaysia 1963
#RMK-12
#Sarawak
#Sabah
#Mustapha Mohamed
#TOK PA
#Kuala Lumpur
#Klang
#rakyat
#Malaysia