RMHC Malaysia sumbang 10,000 Pek Kembali ke Sekolah buat kanak-kanak kurang berkemampuan

Amzar Alif
November 29, 2024 20:13 MYT
RMHC Malaysia menyasarkan pengagihan sebanyak 10,000 Pek Kembali Ke Sekolah kepada kanak-kanak di seluruh negara, termasuk 350 murid dari daerah Tampin. - Gambar RMHC Malaysia
GEMAS: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) meneruskan komitmennya membantu kanak-kanak kurang berkemampuan menerusi Program Pek Kembali ke Sekolah.
Menurut Presiden RMHC Malaysia, Datuk Haji Azmir Jaafar, program tahun ini menyasarkan pengagihan 10,000 pek kepada kanak-kanak di seluruh negara, khususnya murid prasekolah yang bakal memasuki Tahun 1 pada sesi persekolahan 2025.
“Sepanjang pelaksanaan program ini sejak tahun 2017, ia telah memanfaatkan lebih 200,000 kanak-kanak di seluruh negara,” katanya selepas selesai Majlis Pelancaran Program Pek Kembali ke Sekolah Peringkat Kebangsaan di Felda Pasir Besar, Negeri Sembilan.
Turut hadir, Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin, dan Penasihat Yayasan Jaafar Ahmad, Zainudin Jaafar.
Jelasnya, pek ini bertujuan meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, selain memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk memulakan alam persekolahan dengan kelengkapan serba baharu.
“Fokus kami ialah untuk memberikan pek yang lengkap dengan uniform, kasut, beg, alat tulis dan sebagainya kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan,” tambahnya.
Sumbangan ini melibatkan peruntukan sekitar RM1 juta, dan pengagihan pek dilakukan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan bermula pada Mac 2025.
“Menerusi tinjuan ke sekolah yang telah menerima bantuan sebelum ini, impaknya amat besar iaitu kita dapati, anak yang menerima sumbang tersebut lebih yakin untuk ke sekolah dan kes ponteng juga berkurangan seterusnya memberi kesan kepada pembelajaran mereka,” ujar Azmir.
Dalam majlis yang sama, Yayasan Jaafar Ahmad turut menyumbang 350 pek kepada murid prasekolah di daerah Tampin, Negeri Sembilan, yang melibatkan 11 buah sekolah rendah dan empat Tabika KEMAS.
Penasihat Yayasan Jaafar Ahmad, Zainudin Jaafar menyatakan rasa tanggungjawab yayasan tersebut untuk memastikan pendidikan yang adil bagi kanak-kanak memerlukan di Negeri Sembilan.
“Sebagai anak jati Negeri Sembilan, keluarga kami berusaha menyumbang kepada negeri kelahiran kami. Kami berharap sumbangan ini dapat memberi peluang kepada kanak-kanak kurang berkemampuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” jelasnya.
Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin, berkata kerjasama dengan Yayasan Jaafar Ahmad telah memberi impak besar kepada komuniti, khususnya di Felda Pasir Besar.
“Setiap tahun, kami mengedarkan tidak kurang daripada 10,000 pek. Tahun ini, kami bekerjasama dengan Mydin untuk memudahkan proses pengedaran di kawasan penempatan,” katanya.
RMHC Malaysia, yang telah beroperasi selama 34 tahun, terus berusaha memperkukuh perkhidmatan sokongannya kepada kanak-kanak, khususnya dalam aspek pendidikan dan kesihatan.
Program Pek Kembali ke Sekolah ini bukan sekadar simbol bantuan material, tetapi juga manifestasi keprihatinan terhadap pendidikan sebagai asas kejayaan masa depan kanak-kanak.
Inisiatif ini sekali lagi menegaskan usaha RMHC Malaysia dalam memperkukuh kebajikan kanak-kanak di negara ini.
#RMHC Malaysia #yayasan jaafar ahmad #pek kembali ke sekolah #pendidikan
;