RM99 juta laksana program JENDELA, 'Perajurit Broadband' untuk warga ATM - Khaled Nordin

Faida Rahim
Oktober 11, 2024 11:20 MYT
Mohamed Khaled (dua, kiri) dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (dua, kanan) hadir pada majlis peluncuran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ di Auditorium Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM99 juta diperuntuk untuk melaksanakan program Jalinan Digital Negara (JENDELA) bersama Kementerian Pertahanan, menurut Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Inisiatif itu termasuk mewujudkan Infrastruktur Fiber Optik di semua 73 kem atau pangkalan tentera, melibatkan sebanyak 59,420 pintu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
“Kita mahu menambah baik perkhidmatan liputan selular sedia ada di dalam pelbagai kawasan RKAT.
“Kita menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan Internet dengan kos yang rendah terutama kepada warga Kementerian Pertahanan dan anggota tentera, khususnya anggota lain-lain pangkat, yang juga dikategorikan sebagai golongan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ dan Penyerahan Memorandum Persefahaman antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Inisiatif Perajurit Broadband menyediakan pakej langganan harga mampu milik serendah RM49 dengan kelajuan 100 Mbps.
“Harga yang murah ini adalah satu pengiktirafan dan cara Kerajaan Perpaduan menghargai jasa serta pengorbanan warga ATM dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” kata Mohamed Khaled.
Tambah beliau, Kementerian Pertahanan mengambil pendekatan menjaga kemaslahatan serta kebajikan warga ATM di kem-kem di seluruh negara, bukan sebagai perkara sampingan.
#Mohamed Khaled Nordin #RKAT #Fahmi Fadzil #Internet
;