RM98 juta peruntukan Belanjawan 2019 Kementerian Pertahanan untuk veteran
Bernama
November 10, 2018 09:39 MYT
November 10, 2018 09:39 MYT
Sebanyak RM98 juta daripada RM5.9 bilion peruntukan kerajaan kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri dalam pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini akan disalurkan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata peruntukan itu meningkat sebanyak RM20 juta berbanding RM78 juta yang diperuntukan kerajaan sebelum ini kepada golongan itu pada tahun ini.
"Meskipun pada Belanjawan 2019 peruntukan Kementerian Pertahanan sedikit berkurangan berbanding tahun ini, tapi atas keprihatinan kerajaan kita dapat pertambahan RM20 juta bagi meningkatkan kebajikan dan kesejahteran golongan veteran ATM.
"Untuk bahagian lain (dalam Kementerian Pertahanan) kita boleh mohon dari semasa ke semasa ikut kemampuan kewangan kerajaan kerana kita tahu kebiasaannya kerajaan akan membentangkan belanjawan tambahan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 185 veteran ATM negeri Terengganu di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad dan Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Terengganu, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah.
Penganugerahan PJM adalah bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan warga ATM yang terlibat dalam menegakkan keamanan dan kedaulatan negara sepanjang tempoh darurat iaitu dari tahun 1969 hingga 1989 bagi menentang Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara dari 1969 hingga 1990.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata penganugerahan itu sebagai satu usaha Kementerian Pertahanan memartabatkan angkatan tentera termasuk golongan veteran yang berkhidmat sebagai barisan hadapan keselamatan yang menjaga kedaulatan dan keamanan negara ini.
Beliau juga meluahkan sedikit rasa terkilan kerana kini peranan angkatan tentera tidak ditonjolkan secara meluas berbanding ketika zaman beliau membesar dahulu menyebabkan generasi kini kurang menghargai perjuangan dan pengorbanan tentera kepada negara.
"Waktu kita membesar dahulu kita hafal nama ketua-ketua polis, ketua tentera, ketua tentera laut, udara... sekarang kalau kita tanya pelajar institut pengajian tinggi pun mereka tidak kenal siapa pemimpin utama pasukan keselamatan negara.
"Kalau dahulu orang masuk meminang, orang tua akan pilih tentera lebih dari cikgu kerana dahulu kerjaya sebagai anggota tentera disanjung tinggi oleh masyarakat... sekarang ini bukanlah mereka ini dilupakan, tetapi kurang ditonjolkan di mata masyarakat," katanya.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia
#anugerah
#ATM
#Bajet 2019
#Belanjawan
#Belanjawan 2019
#Cikgu
#Kementerian Pertahanan
#kerajaan
#keselamatan
#Mohamad Sabu
#pemimpin
#peruntukan
#tentera
#veteran