RM787 juta bukan untuk bina stadium baharu: MB
Sinar Harian
Julai 18, 2022 15:01 MYT
Julai 18, 2022 15:01 MYT
SHAH ALAM: Peruntukan berjumlah RM787 juta yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini bukan untuk membina stadium baharu yang menggantikan Stadium Shah Alam, Seksyen 13, di sini.'
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, jumlah tersebut termasuk kos meninggikan platform stadium sebanyak 1.5 meter bagi mengelak kejadian banjir berulang dan menukar sistem pendawaian elektrik.
Selain itu, kos tersebut turut meliputi kerja meruntuh dan menukar kos keseluruhan struktur bumbung sedia ada serta pembaikan padang serta membaiki sistem perpaipan.
Menurut hantaran tersebut, Amirudin berkata, kos tersebut tidak terhad kepada Stadium Shah Alam sahaja, namun, ia melibatkan Stadium Tertutup Melawati di kawasan sama.
"Sejak 2013 hingga 2022, Kerajaan Selangor membelanjakan RM56 juta bagi membaiki dan membaik pulih SSA antaranya bumbung, bilik persalinan, sistem pendawaian elektrik serta sistem saliran air.
"Oleh kerana saiznya yang besar serta kebanyakan bahan gantian yang mahal, kos menyelenggara ini semakin meningkat. Dijangkakan kos keseluruhan bagi membaik pulih dan menaik taraf kesemua fasiliti mencecah RM787 juta.
"Ini adalah berdasarkan laporan serta kajian terperinci yang terbaru pada tahun lalu," katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, Kerajaan Selangor membuat keputusan untuk melaksanakan pembangunan baru Kompleks Sukan Shah Alam selepas meneliti kesemua cadangan dan kertas kerja yang diterima sejak 2013.
Ujarnya, keputusan tersebut turut dibuat selepas mengambil kira kos membaik pulih yang terlalu tinggi serta kekangan yang dihadapi.
"Pembangunan baru ini tidak melibatkan sebarang dana Kerajaan Negeri, akan menumpukan kepada teknologi hijau dan mesra alam serta memberi wajah baru kepada SSA.
"Ini adalah era baharu dan detik bersejarah buat seluruh rakyat Negeri Selangor," katanya.
Pada Jumaat, Kerajaan Selangor memutuskan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini yang menjadi ikon kepada pembangunan sukan negeri ini memerlukan satu pembaharuan dan diberi ‘nafas baharu’.
Ketika Majlis Penyerahan Surat Niat (LOI) kepada Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Amirudin berkata, syarikat terbabit diminta menyerahkan cadangan terperinci mengenai pelan penambahbaikan atau pembangunan semula stadium berkenaan.
Menurutnya, menerusi penyerahan LOI itu, MRCB akan mengadakan perbincangan terperinci dengan kerajaan negeri berkaitan pelan pembangunan stadium yang berusia hampir 30 tahun dan kawasan di sekitarnya.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.