RM70 juta bina jambatan di Long Lama - Zahid
Bernama
April 29, 2016 22:45 MYT
April 29, 2016 22:45 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan RM70 juta bagi pembinaan jambatan di Long Lama, yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan.
Beliau sebelum itu menggunakan feri yang digunakan penduduk sebagai pengangkutan untuk berulang-alik di dua kawasan di Long Lama yang dipisahkan oleh Sungai Baram sejauh kira-kira 200m.
"Saya rasai sendiri pengalaman menaiki feri... jadi saya berunding dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang turut hadir pada majlis itu), saya cakap kena buat jambatan cepat-cepat.
"Saya kemudian hubungi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), terus beliau luluskan RM70 juta untuk buat jambatan," katanya pada majlis bersama Rela dan pelancaran projek menaik taraf bekas jalan balak Fasa 4: Bahagian Miri, di sini.
Terdahulu, berikutan cuaca buruk, Ahmad Zahid, yang sepatutnya menaiki helikopter ke Long Lama, memilih jalan darat untuk ke majlis berkenaan, perjalanan lebih dua jam dari bandar raya Miri, melibatkan jarak kira-kira 140km.
Kesempatan itu digunakan beliau untuk melihat keadaan jalan di luar bandar dari Miri ke Long Lama.
Selain Ismail Sabri, turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Rela, Kamaruddin Mohd Rapig dan calon Barisan Nasional (BN) DUN Telang Usan, Dennis Ngau.
Ahmad Zahid seterusnya berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memperuntukkan RM200 juta untuk menaik taraf bekas jalan balak di beberapa kawasan di Sarawak.
"Kerana itu kalau pilih calon pilihan raya, pilih calon kita (BN). Kalau pilih calon lawan kita, mereka tidak boleh buat apa-apa, hanya pandai komplain, kutuk dan tabur janji-janji manis.
"Sebelum menang pilihan raya kita dah luluskan (peruntukan), kalau menang, apatah lagi menang besar, lebih banyak peruntukan," katanya.
#Ahmad Zahid Hamidi
#Barisan Nasional
#jambatan Long Lama
#pilihanraya Sarawak
#sarawak2016
#Sungai Baram