RM7 juta biaya kos kajian kebolehlaksanaan projek Kereta Api Trans-Borneo

Bernama
November 18, 2024 16:45 MYT
Shahelmey berkata kos berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan dan kajian kebolehlaksanaan itu telah diluluskan untuk dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). - Gambar fail
KOTA KINABALU: Sejumlah RM7 juta diperuntukkan bagi membiayai kos keseluruhan kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan Kereta Api Trans-Borneo, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata kos berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan dan kajian kebolehlaksanaan itu telah diluluskan untuk dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
"Pada masa ini, proses penilaian Juru Perunding serta penubuhan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal telah selesai pada Oktober 2024. Kementerian saya dimaklumkan bahawa proses penyediaan Surat Setuju Terima sedang dilaksanakan.
"Projek kajian dijangka dimulakan selewat-lewatya pada Disember ini dan dijangka siap pada penghujung 2025 iaitu selama 12 bulan," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin-GRS) dalam sesi soal jawab persidangan DUN Sabah, di sini.
Dr Yusof ingin tahu mengenai perkembangan terkini dan kajian kebolehlaksanaan projek Kereta Api Trans-Borneo yang dihebohkan sejak penghujung tahun lepas.
Shahelmey berkata Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan satu kajian khusus iaitu kajian kemungkinan dan reka bentuk awalan pemanjangan landasan kereta api dari Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu seterusnya ke Pelabuhan Sepanggar dengan anggaran kos kajian RM1.75 juta.
"Kajian ini dijangka bermula selewat-lewatnya Mac 2025," katanya, sambil menambah, semua kajian sama ada oleh kerajaan Persekutuan dan negeri adalah perancangan jangka panjang untuk membangun, memoden dan meluaskan rangkaian sistem kereta api di Sabah.
Beliau berkata hasil dapatan daripada kajian itu kelak akan digunakan sebagai asas bagi perancangan program pembangunan baharu serta pertimbangan permohonan peruntukan untuk pelaksanaan berbentuk fizikal projek dalam Rancangan Malaysia ke-13 dan seterusnya.
Menurutnya, perancangan jangka panjang perlu disusun secara berfasa berpandukan kepada keutamaan dan sumber pembiayaan tersedia.
Shahelmey berkata kajian kemungkinan projek Kereta Api Trans-Borneo itu akan dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan manakala Sabah melalui Jabatan Kereta Api negeri merupakan Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Ahli Jawatankuasa Teknikal.
Beliau berkata keputusan Sabah dalam pelaksanaan pembinaan fizikal projek itu bergantung kepada hasil dapatan kajian berkenaan serta cadangan model pelaksanaan atau model kewangan kelak.
"Hasil dapatan daripada kajian kemungkinan itu juga nanti akan dirangka bagaimana kerjasama antara Sarawak, Brunei dan Sabah dalam pelaksanaan fizikal kelak," katanya menjawab soalan tambahan Dr Yusof mengenai bentuk koordinasi antara Sabah, Sarawak dan Brunei dalam projek berkenaan.
Sementara itu, Shahelmey ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Yong Teck Lee berkata kajian awal itu akan dilaksanakan meliputi tiga skop iaitu penentuan laluan atau jajaran sesuai untuk landasan serta sistem kereta api mengambil kira aspek ekonomi, sosial dan kos.
Beliau berkata ia turut meliputi keseluruhan infrastruktur diperlukan di sepanjang laluan merangkumi lintasan rata, jejambat, stesen dan depoh selain melibatkan pelaksanaan kajian kejuruteraan menyeluruh bagi memastikan sistem kereta api yang bakal dibina berteknologi moden dan terkini serta operasinya kelak berdaya maju setanding dengan sistem kereta api lain di seluruh dunia.
Dalam skop awal kajian pelaksanaan pembinaan projek Kereta Api Trans-Borneo itu, Shahelmey berkata Sabah mencadangkan jajaran kajian meliputi Tanjung Aru (Aeropod) - Kudat; Beaufort - Sipitang - Lawas (Sarawak); Sandakan - Pitas - Kudat; Tawau - Lahad Datu - Sandakan.
Yong (ADUN Dilantik) ingin tahu mengenai kos diperuntukkan bagi menjalankan kajian kemungkinan itu mencukupi dan apakah ia merangkumi kajian dalam aspek ekonomi dan kewangan atau termasuk teknikal.
-- BERNAMA
#Kereta Api Trans Borneo #Sabah #kajian kebolehlaksanaan #Shahelmey Yahya
;