RM66.3 bilion untuk subsidi tahun lalu - Kementerian Kewangan
Astro Awani
Jun 15, 2023 11:40 MYT
Jun 15, 2023 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan jumlah perbelanjaan subsidi kepenggunaan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM66.3 bilion.
Ia merangkumi subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak, skim subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik dan subsidi harga ayam dan telur yang merupakan antara subsidi dengan perbelanjaan terbesar.
"Kerajaan masih mengekalkan harga-harga siling petrol RON95 dan diesel sehingga kini, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah melebihi paras harga siling yang ditetapkan.
"Memandangkan harga minyak mentah dunia masih menunjukkan trend tidak stabil berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan, kerajaan tidak berhasrat untuk menurunkan had harga siling semasa ke paras yang lebih rendah.
"Ini bagi mengelakkan Kerajaan berterusan menanggung jumlah subsidi yang lebih tinggi," memetik jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Ia sebagai menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu mekanisme terbaru bagi menangani beban subsidi minyak yang terpaksa ditanggung kerajaan serta adakah kerajaan memiliki formula untuk menurunkan harga minyak dalam masa terdekat.
Bagi mengimbangi tanggungan subsidi dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat, MoF berkata kerajaan sedang meneroka langkah menambah baik pemberian subsidi secara lebih bersasar.
Ia bagi mengurangkan ketirisan dalam masa yang sama supaya penjimatan subsidi dapat digunakan bagi mengoptimumkan perbelanjaan kepada program dan projek yang memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.
"Jurang harga yang tinggi antara harga pasaran dan harga bersubsidi telah meningkatkan risiko ketirisan melalui penyeludupan terutamanya diesel.
"Ini dapat dilihat dari kecenderungan penggunaan diesel yang meningkat hampir satu kali ganda dan kos subsidi diesel kini hampir menyamai kos subsidi petrol RON95," memetik jawapan itu.
Malah, kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan pemberian subsidi diesel secara bersasar berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaan.
Pada masa sama, pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan serta mengekalkan fokus Kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terjejas.