RM6 bilion diperlukan bagi program restorasi hutan terosot - Muhyiddin

Fareez Azman
Mac 21, 2021 12:49 MYT
Muhyiddin sewaktu dalam majlis pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa di Kepong pada Ahad. - Foto:Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan amat serius dalam melaksanakan program restorasi hutan terosot di seluruh negara.
Sejak tahun 2016 jelas Muhyiddin, sebanyak 1,859 hektar kawasan terosot telah dipulihkan dengan peruntukan sebanyak RM152.82 juta.
"Daripada keseluruhan kawasan berhutan di Malaysia, hanya 1.7 peratus adalah kawasan hutan terosot.
"Walau bagaimanapun, kerajaan amat serius dalawm pengurusan hutan secara bertanggungjawab dan berkekalan dalam melaksanakan program restorasi.
"Pada tahun ini pula, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM34.5 juta untuk kerja-kerja restorasi hutan terosot di seluruh negara," katanya.
Tambah Muhyiddin, beliau turut menyeru kerajaan-kerajaan negeri agar melipatgandakan usaha untuk memulihkan kawasan hutan terosot melalui nature-based solutions (penyelesaian berasaskan alam) terutamanya dalam kawasan sensitif alam sekitar.
"Sesungguhnya kos bagi mengekalkan dan memelihara kawasan hutan di Malaysia adalah sangat besar.
"Mengikut anggaran, sebanyak RM6 bilion diperlukan bagi tujuan ini. Ke arah ini, pelbagai instrumen kewangan khusus telah diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya lagi.
Ujar Muhyiddin, ia termasuk Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation, Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional dan Tabung Amanah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan di bawah Kerajaan-kerajaan Negeri di Semenanjung Malaysia.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa di Kepong pada Ahad.
Untuk rekod sehingga tahun 2018, Malaysia mempunyai 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar kawasan berhutan dan litupan pokok. Daripada keluasan itu, 43.6 peratus adalah di Semenanjung Malaysia, 64.5 peratus di Sabah dan 62.3 peratus di Sarawak.
Peratusan terbabit adalah lebih tinggi daripada kebanyakan negara Eropah termasuk Perancis, Jerman, Itali dan United Kingdom.
#Muhyiddin Yassin #United Kingdom #2016 #Perdana Menteri #kerajaan #Jerman #Malaysia #menteri #Hari Hutan Antarabangsa #Itali #hutan terosot #Program restorasi #FRIM
;