RM6.01 juta nilai cukai dilarikan syarikat perniagaan - LHDN
Astro Awani
Julai 10, 2014 13:08 MYT
Julai 10, 2014 13:08 MYT
Sebanyak RM6.01 juta daripada RM2.02 bilion nilai cukai yang cuba dilarikan syarikat perniagaan merupakan kesalahan jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, angka itu diperolehi daripada 1,761 buah syarikat yang disiasat pihaknya.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 13 syarikat dikesan melakukan kesalahan jenayah," katanya
Jelasnya, LHDn kini giat menjalankan siasatan berhubung kesalahan jenayah kes pelarian cukai dalam kalangan syarikat perniagaan bagi memastikan mereka yang terbabit dengan kesalahan itu diheret ke muka pengadilan.
"Ia ditafsirkan sebagai pelarian cukai dengan niat dan dengan sengaja mengikut Seksyen 114 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) dan LHDN mempunyai bukti bahawa wujudnya pelarian cukai.
"Kelicikan syarikat perniagaan menggunakan cara sofistikated untuk lari daripada membayar cukai kini menjadi cabaran kepada LHDN dan tindakan tegas harus diambil bagi mengesan kesalahan jenayah berbanding kesalahan sivil," ujarnya.
Mohd Nizom berkata pihak syarikat adakalanya cuba menunjukkan aliran tunai kononnya secara sah dikeluarkan bagi menampung kos belian perniagaan, sekali gus untuk mengurangkan keuntungan perniagaan dengan antaranya mewujudkan syarikat palsu dan menggunakan nama sesetengah syarikat sebagai proksi.
"Mereka ingin menunjukkan aliran duit ini secara tulen dikeluarkan kononnya untuk membayar kos belian dan sebagainya dengan cara mewujudkan syarikat palsu, menggunakan nama sesetengah syarikat sebagai proksi termasuk menggunakan nama syarikat tertentu tanpa pengetahuan mereka (pemilik syarikat sebenar).
"Ada juga yang bila kita siasat proksi atau pihak ketiga bagi transaksi yang dilakukan, syarikat itu sebenarnya tidak wujud langsung dan aliran duit yang kononnya dibuat tidak berlaku...ada juga kes yang akaun pun dia sewa, pemilik akaun dapatlah bayaran bulanan sedangkan dia sendiri tidak tahu akaunnya digunakan untuk apa.
"Apabila taktik ini berjaya dilakukan, keuntungan perniagaan termasuk cukai yang harus dibayar juga dapat dikurangkan," katanya.
Mohd Nizom berkata taktik seperti ini turut melibatkan elemen pemalsuan dokumen dan invois, perbelanjaan dan kontrak.
Katanya, penipuan dengan mewujudkan dua akaun dilakukan sesetengah syarikat perniagaan yang tidak bertanggungjawab bertujuan memberi gambaran kepada pihak LHDN bahawa syarikat tidak memperoleh keuntungan sedangkan satu lagi akaun mengisytiharkan keuntungan syarikat berlipat kali ganda untuk digunakan bagi urusan bank dan sebagainya.
Ujarnya, sebelum ini LHDN banyak menyelesaikan kes di luar mahkamah secara penyelesaian sivil mengikut prosedur dan peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 serta akta-akta lain bagi kes yang tidak didakwa di mahkamah.
"Sebelum ini masyarakat tidak nampak kerana kita lebih memfokuskan kes sivil, iaitu satu persetujuan penyelesaian secara bertulis dan perlu dikemukakan oleh pembayar cukai," katanya.
Beliau berkata, kes siasatan dianggap selesai selepas LHDN berpuas hati dengan keterangan serta dokumen-dokumen bukti yang dikemukakan oleh pembayar cukai dan amaun cukai yang sepatutnya telah dibangkitkan.
LHDN juga akan mengeluarkan surat pengesahan penyelesaian kepada pembayar cukai sekiranya tiada pelarian cukai ditemui.
"Bermula tahun lepas, kita memberikan fokus sepenuhnya dalam menjayakan siasatan berhubung kesalahan jenayah dan ini menjadi cabaran utama kami terutamanya dalam memperoleh bukti untuk membuktikan sesuatu kes itu jelas berlakunya pelarian cukai," jelasnya.
Mohd Nizom berkata penyiasatan dilakukan dengan mengadakan lawatan pemeriksaan tanpa notis, memeriksa dokumen perniagaan atau dokumen peribadi pembayar cukai, pengambilan kenyataan daripada orang berkaitan dan setelah semua prosedur siasatan selesai, kes yang diputuskan untuk tindakan pendakwaan akan dikemukakan kepada Jabatan Undang-Undang LHDNM.
Katanya kes yang melibatkan siasatan kes jenayah berat, pembayar cukai boleh didakwa di mahkamah apabila mereka gagal menghadirkan diri ke prosiding mahkamah setelah saman diserahkan dan boleh menyebabkan waran tangkap dikeluarkan.
Katanya, pendakwaan kesalahan pelarian cukai di mahkamah boleh dibuat mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP), Kanun Keseksaan (Akta 574), Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593), Akta Keterangan 1950 (Akta 56), Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan akta lain yang berkaitan.
Mohd Nizom berkata orang ramai yang ingin melaporkan aktiviti pelarian cukai, boleh menulis surat kepada Bahagian Perisikan, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, LHDN Malaysia, Menara Hasil, Aras 6, Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, Peti Surat 11833, 63000 Cyberjaya, Selangor Darul Ehsan atau e-mel pelariancukai@hasil.gov.my atau hubungi talian 03-8313 8888 (sambungan 20601/20607), nombor faksimili 03-8313 7810 atau hadir sendiri ke pejabat LHDN.
"Segala maklumat dan identiti pengadu adalah rahsia. Setiap aduan akan diteliti serta disiasat sewajarnya.
LHDN juga mempertimbangkan pemberian ganjaran kepada pengadu berdasarkan ketepatan dan kesahihan maklumat diberikan," katanya.