Sebanyak RM527 juta diperuntukkan oleh kerajaan pusat bagi pembinaan jalan alternatif baharu dari Besut, Terengganu ke Perak.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek ke utara dari Kampung Keruak, Besut dan berakhir di Simpang Pulai, Perak itu akan menjadi pelengkap kepada jaringan jalan raya Persekutuan yang merangkumi jarak sepanjang 37 kilometer dengan menghubungkan Kuala Berang dan Lojing di Kelantan.

Katanya projek itu termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan dijangka dapat ditender pada tahun depan.

"Terdapat 10 projek sambungan diluluskan yang keseluruhannya menelan belanja kira-kira RM787 juta," katanya kepada pemberita ketika melawat kerja-kerja menaik taraf jalan dari Bulatan Sultan Mansur ke Kuala Berang dan dari Padang Mengkuang ke Durian Guling di sini hari ini.

Pembinaan jalan baharu itu akan memberi kemudahan kepada pengguna ke arah utara dan menjimatkan masa perjalanan pengguna dari arah timur untuk ke Tasik Kenyir.

Selain itu Fadilah berkata terdapat empat projek sedang dalam pembinaan di Terengganu termasuk memperelok jalan dari Bulatan Sultan Mansur ke Kuala Berang dari Padang Mengkuang ke Durian Guling diikuti menggantikan jambatan sedia ada ndi beberapa kawasan seperti di Sungai Bintang, Setiu; Kampung Pagar Besi dan Batu Rakit di Kuala Terengganu.