RM500,000 untuk bina tukun tiruan, halang pukat tunda nelayan asing

Bernama
September 27, 2020 05:57 MYT
Azman (tiga, kiri) pada program melabuhkan tukun tiruan di perairan Beting Lintang, Besut, 27 Sept, 2020. --fotoBERNAMA
BESUT: Selain menjadi tempat pembiakan ikan, tukun tiruan kekotak atau kuboid diperbuat daripada konkrit didapati mampu menghalang aktiviti pukat tunda nelayan asing di perairan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Dr Azman Ibrahim berkata, ini kerana apabila pukat tunda digunakan tersebut tersangkut pada tukun, ia akan merosakkan pukat tunda sekali gus menghentikan aktiviti yang dilakukan secara haram tersebut.
"Tukun ini bukan sahaja mampu jadi tempat pembiakan ikan, tetapi ia juga mampu menghentikan aktiviti pukat tunda haram yang sering digunakan nelayan asing," katanya.
Dr Azman berkata, sejumlah RM500,000 telah diperuntukan kerajaan bagi membina lebih banyak tukun tiruan dan semalam lapan unit telah dilabuhkan di perairan Kuala Ibai, Kuala Terengganu, dan lapan unit di perairan Beting Lintang.
Katanya, tukun tiruan seberat 15 tan setiap unit itu diharap menjadi tempat pembiakan pelbagai jenis ikan, yang secara langsung akan menambah pendapatan nelayan tempatan serta meningkatkan kedatangan pelancong untuk memancing.
Azman berkata lagi sebanyak 288 tukun tiruan telah dilabuhkan sejak tahun 2013 hingga tahun lepas di negeri ini dengan perairan Rantau Abang mencatatkan jumlah terbanyak iaitu sebanyak 90 unit.
-- BERNAMA
#Kuala Terengganu #kerajaan #nelayan #pelancong #haram #Tukun Tiruan #Beting Lintang #Rantau Abang #pembiakan ikan #ikan #nelayan asing #terengganu #Azman Ibrahim #Kuala Ibai #perairan
;