RM50.5 juta untuk naik taraf Aerodrome Sungai Rambai
Astro Awani
September 21, 2014 17:16 MYT
September 21, 2014 17:16 MYT
Sejumlah RM50.5 juta diperlukan sebagai peruntukan awal untuk menaik taraf Aerodrome Sungai Rambai di Kampung Tasek bagi menjadikan padang terbang sokongan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) menjelang pembentangan bajet 2015.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, usaha berkenaan dilihat mampu menjadi pemangkin kegiatan sosioekonomi masyarakat setempat di kawasan itu.
Setakat ini, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sudah memberikan lampu hijau bagi menyokong projek yang berperanan menjadi pusat latihan penerbangan pesawat ringan.
Proses pengambilan tanah turut diluluskan kerajaan negeri yang mana lokasi terbabit akan dibina Terminal Menara Kawalan, hangar, pejabat dan café.
Katanya, projek ini menjadi pengiktirafan tertinggi sejak padang terbang itu dibuka hampir 10 tahun lalu dengan hanya memiliki landasan pendek bagi pendaratan pesawat ringan seperti Cesna 172 selain menjadi tapak lokasi karnival udara sejak tahun 1999.
Penaiktarafan itu mampu mewujudkan lokasi rekreasi kepada penggiat sukan penerbangan, terutamanya peminat mikrolight dan paramotor, sekali gus mewujudkan minat belia untuk menceburi bidang penerbangan, tambahnya.
#Aerodrome Sungai Rambai
#Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai
#Datuk Hasan Abdul Rahman
#Jabatan Penerbangan Awam (DCA)