RM50,000 diperuntukkan untuk ADUN pertingkat perkhidmatan kepada rakyat

Astro Awani
Mei 23, 2018 09:37 MYT
Osman (tengah) bersama Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang bersidang buat kali pertama. - Foto Bernama
Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM2.8 juta kepada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu bagi tahun 2018 sebagai langkah mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata setiap ADUN termasuk pembangkang akan menerima RM50,000 bagi pengurusan pusat khidmat wakil rakyat.
Menurutnya, keputusan itu yang dibuat selepas meneliti kewangan negeri adalah seiring dengan keutamaan kerajaan negeri iaitu bantuan segera pasca Pilihan Raya Umum ke-14 bagi memastikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat tanpa mengira perbezaan politik.
"Peruntukan RM50,000 ini adalah untuk membayar pengurusan dan mereka perlu membuka pusat khidmat wakil rakyat. Sewa pusat khidmat itu akan dibayar menggunakan wang peruntukan RM50,000 termasuk ADUN pembangkang.
"Kita mahu mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat," katanya , katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang pertama hari ini.
Selain itu Osman berkata bersempena Ramadan dan kedatangan Aidilfitri, kerajaan negeri bersetuju mengagihkan bantuan sekali gus kepada 2,762 masjid dan surau melibatkan jumlah keseluruhan RM993,600.
Beliau berkata bantuan RM500 setiap masjid dan RM300 untuk surau berkenaan akan diberikan sebelum Aidilfitri melibatkan 825 masjid dan 1,937 surau.
"Kerajaan negeri juga komited dan akan memperhalusi bentuk-bentuk sumbangan yang boleh disalurkan kepada masyarakat Cina, India dan lain-lain sama ada dari aspek pendidikan, pembangunan komuniti dan sebagainya," katanya.
Pada mesyuarat pertama itu juga, kerajaan negeri membuat ketetapan menghapuskan Kuota Menegak Kerajaan (KMK) bagi pemilikan rumah di Johor selaras dengan satu daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) Johor.
#ADUN #Johor #Kerajaan Johor #Malaysia Baharu #Menteri Besar Johor #Osman Sapian #perkhidmatan