RM46 juta milik Najib dicuri: Peguam

Sinar Harian
November 14, 2022 16:54 MYT
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa RM46 juta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disimpan di sebuah unit di Pavilion Residences, di Kuala Lumpur, dicuri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa RM46 juta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disimpan di sebuah unit di Pavilion Residences di sini, dicuri.
Muhammad Shafee berkata, kecurian harta berkenaan dikesan selepas pihak polis hanya menemui RM114 juta daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM160 juta seperti yang dimaklumkan Najib.
Beliau berkata, ketika membuat serbuan pada 17 Mei 2018, pihak berkuasa tidak mengira wang yang didakwa hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.
Maka katanya, timbul persoalan apabila harta itu tidak dikira di sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences, sebaliknya di lokasi lain.
“Najib memaklumkan ada RM160 juta, bukannya RM114 juta, maka ada seseorang yang mencuri wang tersebut.
“Polis juga tidak beritahu bagaimana wang ditemui itu dibungkus dan tidak menyerahkan senarai barang rampasan kepada penghuni premis,” katanya selepas prosiding keputusan kes lucut hak harta di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.
Muhammad Shafee berkata, serbuan itu lebih kepada ‘smoking gun’ iaitu sekadar mengaitkan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai pesalah dalam kes 1MDB.
Sedangkan beliau berkata, mahkamah telah memutuskan harta yang dirampas itu tidak diperoleh berkaitan dengan perlakuan kesalahan predikat (aktiviti haram) atau menggunakan dana penyelewengan 1MDB.
“Najib sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan wang itu dan kita minta pihak berkuasa untuk menyiasat anggota yang hadir dalam serbuan tersebut,” katanya.
Dalam prosiding kes pada Isnin, kerajaan Malaysia gagal untuk melucut hak 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita ketika serbuan di Pavilion Residences, empat tahun lalu, yang didakwa milik Najib dan Rosmah.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak harta tersebut.
Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.
Ia susulan pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings Sdn Bhd bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata, 306 beg tangan, serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.
Najib dan isterinya Rosmah adalah pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas serta jam tangan dalam permohonan pelucuthakan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki ahli perniagaan, Tan Sri Bustari Yusof.
Barangan yang disita oleh polis dari premis milik Obyu Holdings di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018 telah dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu sebanyak 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita ketika serbuan di sebuah premis milik Obyu Holdings di Pavilion.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada penyandang kerusi Parlimen Pekan itu ada membuat permohonan kepada Jabatan Penjara untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
“Saya tidak tahu mengenainya, tidak pasti jabatan itu membenarkan banduan untuk keluar mengundi,” katanya.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#1MDB #Najib Razak #duit Najib Razak dicuri #pavilion residences
;