RM42.9 juta disalurkan bantu sekolah, badan keagamaan bukan Islam di Sabah

Eleanor Michelle Patrick
Disember 15, 2021 09:26 MYT
Hajiji (tengah) merasmikan Kota Kinabalu Christmas Celebration 2021 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Sebanyak RM42.9 juta telah disalurkan untuk bantuan sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah pada tahun ini, di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Daripada jumlah itu, RM17.9 juta adalah bantuan kepada sekolah, termasuk Sekolah Persendirian Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, tadika dan sekolah swasta.
Selebihnya sekitar RM24.9 juta, menurut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkannya malam tadi, adalah bantuan kepada badan keagamaan iaitu gereja, kuil dan tokong.
"Sebagai kerajaan yang prihatin dan saksama, kita akan meneruskan bantuan dan peruntukan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.
"Bantuan itu juga sebagai tanda dan bukti bahawa kerajaan negeri GRS serius serta ikhlas dalam membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama," katanya ketika merasmikan Kota Kinabalu Christmas Celebration 2021 di Padang Merdeka di sini malam tadi.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan perpaduan rakyat, keharmonian kaum dan toleransi beragama yang kukuh di negeri ini akan terus berkekalan.
Sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan perlu dihindari bagi membolehkan Sabah merealisasi agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan berkesan.
Ia bagi meningkatkan lagi ekonomi sekali gus memacu pembangunan dan kemajuan di negeri ini, tambahnya
Menurut Hajiji Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penganjuran apa juga festival, karnival dan program yang menjurus ke arah pemantapan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah.
"Penganjuran festival Krismas dapat meningkatkan lagi semangat perpaduan, toleransi dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang bangsa, kaum dan agama.
"Sememangnya semangat seumpama ini sudah lama diamalkan di Sabah dan ia juga sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus bersama-sama memastikan kemakmuran sosial dapat dipelihara dan dipertingkatkan bagi kesejahteraan dan manfaat bersama.
Katanya, kerjasama dan sokongan rakyat akan menyumbang kejayaan kepada segala dasar dan program yang sedang kerajaan laksanakan di bawah pelan pembangunan Hala Tuju SMJ.
#sekolah #bukan Islam #Hajiji Noor #peruntukan bantuan
;