RM42.26 juta projek bantu baik pulih, bina rumah di bandar - Nga Kor Ming
Bernama
Jun 17, 2023 13:54 MYT
Jun 17, 2023 13:54 MYT
TELUK INTAN: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM42.26 juta bagi Projek Bantuan Baik Pulih Rumah dan Bantuan Bina Baharu Rumah di Bandar tahun ini, kata Menterinya Nga Kor Ming.
Nga berkata jumlah itu merangkumi RM40.26 juta bagi projek membaik pulih rumah yang memanfaatkan 2,534 Ketua Isi Rumah (KIR) dan RM2 juta untuk pembinaan rumah baharu.
"Ini adalah bagi membantu golongan B40 yang tinggal di bandar yang rumahnya daif, rosak akibat terbakar, bencana alam ataupun kerana kemiskinan tegar, dibaik pulih atau dibina semula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar: Fiesta Teluk Intan, Komuniti Bandar Dekat Dihati di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan Zairul Akmal Kasim.
Sementara itu, Nga berkata daripada jumlah yang diperuntukkan, sebanyak RM2 juta disalurkan kepada 133 penerima di Perak dengan setiap KIR akan menerima bantuan kadar maksimum RM15,000 untuk memperbaiki rumah mereka yang disalurkan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, KPKT sentiasa komited menggalas tanggungjawab bersama PBT dan komuniti bagi menaikkan tahap sosioekonomi masyarakat termasuk meningkatkan taraf hidup terutamanya golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.
"Pembasmian kemiskinan yang melibatkan golongan sasar berpendapatan rendah, memerlukan usaha sepakat dalam mengurangkan kesukaran dan meningkatkan daya upaya keluarga miskin di bandar dalam menghadapi cabaran perbandaran.
"Bagi mendepani cabaran kemiskinan di bandar, KPKT mengambil inisiatif melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, bagi mengurangkan beban tanggungan KIR dan meningkatkan kualiti hidup keluarga," katanya.
Dalam ucapannya pula, Nga berkata pada tahun ini, KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi pelaksanaan Program Kemampanan dan Komuniti Bandar (PKKB) yang bertujuan mengimbangi kemajuan sosioekonomi komuniti bandar selaras dengan pembangunan pesat yang sedang dirancang.
Katanya melalui program ini, KPKT terus mengekalkan jalinan kerjasama akrab dengan pelbagai pihak termasuk PBT, agensi kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta.
Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan turut meluluskan peruntukan RM820,000 bagi menaik taraf dan membina beberapa kemudahan insfrastruktur di Parlimen itu termasuk pembinaan sebuah gelanggang bola tampar tertutup.
-- BERNAMA