RM40 punya pasal, batang besi hentak kepala
Bernama
April 20, 2014 20:12 MYT
April 20, 2014 20:12 MYT
Seorang lelaki cedera parah di kepala selepas dihentak dengan sebatang besi oleh rakan sekampungnya pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed, kejadian berlaku sekitar 7.30 malam apabila, mangsa yang berusia 38 tahun itu berjalan seorang diri di kampungnya di Bukit Kecil, Cahok di Setiu.
“Mangsa dipercayai meminjam wang dari suspek dan dikatakan enggan melangsaikan hutangnya,” katanya ketika menghadiri pertandingan menembak yang dianjurkan sempena Hari Polis ke-207 di Lapangan Menembak Sungai Bidong.
AB Rahman berkata, mangsa telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Setiu sebelum membuat satu laporan polis sekitar 8.30 malam.
Polis katanya sedang menjejaki suspek yang berusia 41 tahun itu yang melarikan diri dari kampung terbabit selepas kejadian.