RM4 juta diperuntukkan bagi hospital di Sabah
Khairul Wasiril Aswad
Mac 7, 2013 18:20 MYT
Mac 7, 2013 18:20 MYT
Sebanyak RM4 juta diperuntukkan kerajaan bagi menaiktaraf tiga hospital di Lahad Datu, Semporna dan Sandakan bagi menyokong pasukan pejuang negara yang dikuatkuasakan serta merta.
Menteri kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan, penambahbaikan tersebut termasuk tambahan kakitangan, kepakaran serta kelengkapan perubatan.
“Ketiga hospital tersebut telah dinaiktaraf dimana beberapa peralatan lain seperti vendelators dan penambahan kuantiti ubat-ubatan yang telah disalurkan sejak minggu lalu”, kata Tiong Lai.
Tambahnya persedian berbentuk perubatan dan kepakaran adalah kritikal pada masa ini terutamanya sebagai persediaan untuk merawat anggota yang menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara di Sabah.
“Pihak kami telah menghantar ramai pegawai perubatan termasuk, pakar forensik, pakar pergigian forensik dan pakar bedah untuk memastikan pejuang negara mendapat rawatan yang rapi di tapak peperangan dan di dalam hospital”, ujarnya.
Disamping itu, Tiong Lai turut menyampai takziah kepada keluarga wira negara yang terkorban dan berharap tiada lagi pejuang negara yang gugur di medan pertempuran di Lahad Datu.
Beliau turut memberikan sokongan penuh terhadap tindakan kerajaan mengusir anasir penceroboh yang diiktiraf sebagai pengganas.
Beliau ditemui selepas melancarkan Logo Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MESTI) di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.