RM4 juta diperlukan bina Galeri Kesultanan Melayu Jembal
Muhafandi Muhamad
September 11, 2022 07:15 MYT
September 11, 2022 07:15 MYT
GUA MUSANG: Dana sebanyak RM4 juta diperlukan untuk membina Galeri Kesultanan Melayu Jembal yang bakal menempatkan penemuan sejarah dan catatan warisan institusi beraja yang pernah memerintah Kelantan pada abad ke-17.
Yang Dipertua Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan, Nik Yusuf Nik Mohammad berkata, penubuhan galeri itu bertujuan memastikan segala maklumat sejarah mengenai Raja Jembal yang memerintah Kelantan selama 95 tahun dari 1638 hingga 1733 dapat dipaparkan kepada generasi akan datang.
Katanya, cadangan pembinaan galeri di Kota Jembal, Kota Bharu itu telah dikemukakan kepada Perbadanan Muzium Negeri dan Kerajaan Negeri.
"Galeri Kesultanan Jembal ini kita telah cadang kepada Muzium Negeri. Muzium negeri sudah bersetuju dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Kesenian Exco Negeri dan juga Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan semuanya kerajaan negeri sudah lulus dan bersetuju untuk meluluskan pembinaan muzium, kita pilih Galeri Kesultanan Jembal.
"InsyaAllah akan wujud seberapa segera di Kota Jembal. InsyaAllah galeri ini kita sedang berusaha peruntukan kita dapat RM4 juta," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Seminar Sejarah Kesultanan Melayu Jembal Kelantan di Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang.
Nik Yusuf berkata, ketika ini pihaknya berjaya mengumpul RM20,000 hasil sumbangan anak beranak kerabat Raja Jembal bagi membantu membina galeri itu.
Sebagai rekod lebih 5,000 ahli yang berdaftar dengan pertubuhan di seluruh negara ketika ini dengan permulaan nama mereka menggunakan Raja, Tuan, Engku, Tengku dan Nik.