RM4.5 bilion pelaburan diluluskan, akan dilaksanakan tahun ini - Menteri MITI
Irfan Faruqi
Mac 12, 2024 22:22 MYT
Mac 12, 2024 22:22 MYT
BERLIN: Sejumlah RM.4.5 bilion pelaburan dari syarikat-syarikat Jerman telah diluluskan dan akan mula dilaksanakan tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelaburan ini melibatkan syarikat X-Fab, Melexis dan Schott yang turut serta dalam mesyuarat meja bulat bersama Perdana Menteri dan kapten industri pada Selasa.
“X-Fab dan Melexis telah maklumkan kepada kita mengenai projek yang sekarang ini dalam pembangunan di Sarawak, Kedah dan Penang. Mereka menjangkakan operasi akan bermula pada tahun ini.
“Pelaburan-pelaburan ini berjumlah RM4.5 bilion yang akan dilaksanakan tahun ini. Penekanan kita adalah kepada aspek pelaksanaan, bermaksud apa yang diumumkan perlu direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pertemuan secara bersemuka antara delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri mengadakan perbincangan dengan syarikat Melexis yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marc Biron; bersama syarikat pembuatan X-Fab, diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rudi De Winter.
Ia diikuti oleh syarikat Infineon Technologies AG diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Dr. Rutger Wijburg, bersama Naib Presiden Dasar Awam, Michael Boll.
Kemudian, delegasi Malaysia turut bertemu Ahli Lembaga Pengarah Schott AG, Dr. Andrea Frenzel; dan Naib Presiden yang juga Ketua Perniagaan Bidang Realiti Terimbuh Optik Termaju, Dr. Rüdiger Sprengard.
Seterusnya, Airbus diwakili Presiden Airbus Asia Pacific, Anand Stanley; dan Ketua Wakil Airbus Malaysia, Burhan Noordin-Ali.
Menurut Tengku Zafrul, sesi bersama industri pada hari ini juga berjaya meraih komitmen pelaburan baharu dalam sektor bernilai tinggi.
“Ada juga pelaburan baharu yang telah dipersetujui melalui mesyuarat meja bulat dan pertemuan bersemuka hari ini dengan nilai potensi pelaburan RM45.4 bilion.
“Ini merangkumi tambahan kepada pelaburan sedia ada dan pelaburan baharu. Ia melibatkan pelaburan dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa, peralatan perubatan dan perkhidmatan,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus membantu memudahcara urusan perdagangan dan pelaburan syarikat-syarikat Jeman dan Kesatuan Eropah (EU).