RM360,000 bantuan disediakan kepada petani terjejas hasil padi di Perlis - Azlan
Bernama
September 16, 2022 04:20 MYT
September 16, 2022 04:20 MYT
KANGAR: Kerajaan Perlis menyediakan bantuan berjumlah RM360,000 kepada petani-petani yang terjejas akibat daripada kemerosotan hasil padi susulan berlakunya 'tanah jerlus' baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata sebanyak 600 hektar kawasan padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri itu, terjejas akibat keadaan itu dan petani tidak dapat menuai hasil sebelum ini.
"Kita akan sediakan bantuan ini kepada petani di negeri ini yang terjejas, namun bentuk bantuan itu kita akan perhalusi dan kita juga meminta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan sekiranya ada bentuk-bentuk peruntukan yang boleh diberikan kepada petani di negeri ini," katanya.
Azlan ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) peringkat negeri di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Exco Pertanian dan Industri, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri Nurulhisham Yaakob dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perlis Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar.
HPPN yang dianjurkan bermula semalam hingga Ahad ini (18 Sept) dijangka bakal menarik lebih 60,000 pengunjung, turut disajikan dengan pelbagaii aktiviti dan pameran menerusi reruai agensi kerajaan dan swasta.
Mengulas lanjut, Azlan berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), bagi membincangkan keadah terbaik melindungi hasil petani dari musnah akibat daripada ramalan hujan lebat yang bakal berlaku kelak.
-- BERNAMA