RM33 juta tunggakan bil air AKSB masih belum dijelaskan - Exco

Bernama
Mac 31, 2022 13:41 MYT
Tunggakan itu membabitkan seramai 271,876 pengguna akaun AKSB. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) melaporkan sebanyak RM33 juta bil air gagal dibayar oleh penduduk negeri itu setakat Februari lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan Datuk Azami Mohd Nor berkata tunggakan itu membabitkan seramai 271,876 pengguna akaun AKSB.
"Justeru, saya memohon kepada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turun padang agar memaklumkan perkara ini kepada rakyat untuk membayar bil air. Dari situ (bayaran bil) kita boleh membayar hutang AKSB kepada pihak berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) pada Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Terdahulu, Rohani ingin tahu mengenai sejauh mana pelaksanaan program penukaran paip simen asbestos (AC) sepanjang 4,006 kilometer (KM) yang berusia melebihi 35 tahun melibatkan kos RM1.3 bilion bermula 2018 hingga 2030.
Mengulas mengenai projek berkenaan, Azami berkata sebanyak 241.42 KM paip telah disiapkan bagi jajahan Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat menerusi program pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada 2018.
"Bagi 2019 pula kita telah menyiapkan 225 KM pemasangan paip baharu yang membabitkan empat jajahan iaitu Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.
"Kesemua proses penukaran paip ini perlu dibayar semula memandangkan ia pinjaman dan salah satu punca hasil AKSB (untuk bayar balik) adalah menerusi pembayaran daripada pemegang akaun AKSB yang membayar semula bil air," katanya.
-- BERNAMA
#tunggakan #bil air #AKSB #Kelantan
;