RM300 bilion tangani banjir: Ini 9 fokus penyelesaian jangka panjang

Astro Awani
Januari 20, 2022 15:20 MYT
Fokus adalah kepada pembangunan infrastruktur air seperti tebatan banjir, pembinaan benteng, ban, pencegahan hakisan pantai dan sebagainya. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengunjurkan anggaran kos berjumlah RM300 bilion diperlukan sebagai penyelesaian jangka panjang dalam usaha mendepani cabaran perubahan iklim serta fenomena banjir di seluruh negara.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata anggaran kos itu membabitkan pelaksanaan kerja-kerja secara berfasa selama tempoh 50 tahun hingga tahun 2100.
"Fokus adalah kepada pembangunan infrastruktur air seperti tebatan banjir, pembinaan benteng, ban, pencegahan hakisan pantai dan sebagainya yang telah mengambil kira faktor perubahan iklim yang telah saya jelaskan," katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkenaan bencana banjir hari ini.
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menggariskan sembilan langkah jangka panjang iaitu:
(i) Memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim sektor air melalui pembangunan Akta Adaptasi Sektor Air sebagai strategi jangka panjang dengan mengambil kira keperluan peningkatan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai negara. Di bawah akta ini, KASA akan mencadangkan penubuhan sebuah tabung khas/kumpulan wang amanah untuk peningkatan kapasiti adaptif sektor air dan kawasan pesisir melalui pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur yang mengambil kira faktor perubahan iklim;
(ii) Membangunkan Pusat Adaptasi Kebangsaan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi menyelaras dasar dan pelaksanaan adaptasi perubahan iklim, integrasi pengurangan risiko bencana dan pencegahan kehilangan dan kerosakan akibat kesan perubahan iklim yang melibatkan sektor-sektor mudah terancam;
(iii) Membangunkan struktur dan reka bentuk infrastruktur tebatan banjir berkonsepkan make room for water seperti menaik taraf sistem pengurusan banjir, pantai dan sungai-sungai utama serta menaik taraf benteng/ban pantai/ sungai dan parit dengan meningkatkan tahap perlindungan (kala purata ulangan - Average Recurrence Interval [ARI]) reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun ARI kepada 200 tahun ARI;
(iv) Penggunaan pendekatan nature-based solution seperti pembinaan denai sungai sebagai platform penglibatan masyarakat dalam aktiviti perlindungan, pembersihan dan pemuliharaan sungai;
(v) Meningkatkan kapasiti takungan air banjir melalui pelaksanaan projek takungan air pinggiran sungai (TAPS) dan empangan bagi tujuan tebatan banjir dan sumber air;
(vi) Penggunaan mandatori pelan-pelan dan garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan memperkasa pematuhan Pelan Hakisan dan Kelodak (ESCP);
(vii) Meningkatkan kesedaran awam dengan pelaksanaan Public Outreach Programme (POP) dan program kesedaran alam sekitar melalui pendekatan communication, education and public awareness (CEPA) seperti latihan menghadapi banjir, atau flood drills, dengan izin. Pendekatan ini akan dilaksanakan di peringkat sekolah dan masyarakat melalui rukun tetangga untuk meningkatkan kesedaran rakyat menghadapi amaran banjir dan langkah yang perlu diambil jika berdepan ancaman ini;
(viii) Memperkasa pelaksanaan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) dalam pengurusan lembangan sungai melalui empat (4) objektif utama iaitu:
a) Memastikan air mencukupi,
b) Memastikan air bersih,
c) Mengurangkan risiko banjir dan
d) Melestarikan alam sekitar.
Melalui pembangunan pelan IRBM, cadangan perancangan dan pembangunan sumber air di dalam sesebuah lembangan mestilah dijadikan rujukan mandatori oleh pihak Kerajaan Negeri dan semua pihak berkepentingan. Dalam merancang pembangunan, kesan terhadap kelestarian alam sekitar perlu diberikan perhatian terutamanya sumber air yang sangat diperlukan oleh negara; dan
(ix) Mewujudkan pusat ramalan cuaca numerikal kebangsaan yang merangkumi pembangunan pusat komputer prestasi tinggi serta pembangunan, pengoperasian dan penyelidikan model cuaca.
#Tuan Ibrahim Tuan Man #banjir #mitigasi banjir #pengurusan banjir #Mesyuarat Khas Parlimen
;