RM3 juta peruntukan baiki benteng laut

Tan Su Lin
Oktober 19, 2016 06:02 MYT
Ombak besar membadai pesisir pantai berikutan fenomena air pasang besar di sekitar Kota Kuala Muda pada 17 Oktober. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Kerajaan memperuntukkan RM3 juta sebagai langkah jangka pendek memperbaiki benteng-benteng laut yang pecah akibat fenomena air pasang besar yang berlaku di beberapa kawasan di negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata beliau telah mengarahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar mengenal pasti lokasi kawasan benteng yang terjejas untuk diambil tindakan segera.
Namun untuk jangka masa panjang, ujar beliau, pihaknya telah mengemukakan permohonan bagi peruntukan sebanyak RM416 juta dimasukkan dalam Bajet 2017 bagi tujuan pembinaan benteng,
"Oleh kerana keadaan ini cukup kritikal dan keperluan adalah mendadak saya yakin permohonan ini akan diluluskan supaya kita dapat membina benteng untuk menahan air pasang besar di kawasan perkampungan dan ladang-ladang di negara ini daripada dilimpahi air masin dari laut," katanya kepada pemberita di ruang lobi parlimen hari ini.
Ujar beliau, fenomena air pasang besar yang berlaku dari 16 hingga 19 October ini adalah ekoran kedudukan bulan yang amat dekat dengan bumi sehingga menyebabkan paras air meningkat secara mendadak.
#benteng laut #fenomena air pasang besar #JPS #Wan Junaidi Tunku Jaafar