RM3 juta baiki cerun runtuh bersebelahan Balai Polis Tongod - Hamzah Zainudin

Bernama
Julai 16, 2022 17:40 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) diberikan taklimat mengenai tanah runtuh di kawasan Balai Polis Tongod oleh Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail. - Foto BERNAMA
TONGOD: Peruntukan RM3 juta telah diluluskan bagi membaiki cerun runtuh berdekatan kuarters Balai Polis Tongod di sini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengoperasian balai itu, yang terjejas dengan kejadian tanah runtuh pada pertengahan Februari lepas.
"Kita harap kerja membaiki cerun itu dapat dipercepatkan bagi mengelakkan kejadian cerun runtuh kawasan ini berulang," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di sini hari ini.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan pada Februari lepas itu turut menyebabkan keretakan pada jalan di dalam kawasan balai, namun ia tidak menjejaskan kuarters membabitkan lapan keluarga petugas balai berkenaan.
Merujuk kepada program hari ini Hamzah berkata, KDN memahami kesulitan dihadapi rakyat pedalaman dalam urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri, dan akan memperhebatkan usaha membantu mereka sebaik mungkin.
"Sebab itu kami bawa bas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ke sini (Tongod) bagi mengatasi masalah dokumentasi rakyat di Tongod yang jauh dari cawangan JPN terdekat," katanya.
Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah pula berharap kerja pembaikan cerun runtuh dekat Balai Polis Tongod dapat disegerakan kerana bimbang dengan cuaca tidak menentu di daerah itu sejak kebelakangan ini.
"Saya berharap peruntukan itu (RM3 juta) dapat disalurkan terus kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi memudahkan pemantauan pelaksanaannya," katanya.
Ketua Polis Kinabatangan Supt Dzulbaharin Ismail pula berkata JKR telah memaklumkan balai polis dan kuarters itu masih boleh diduduki, namun pihaknya sentiasa mengambil langkah berwaspada terutama semasa keadaan cuaca tidak baik, memandangkan kedudukan balai itu yang berdekatan cerun bukit.
-- BERNAMA
#cerun runtuh #baiki cerun #kuarters #Balai Polis Tongod #Menteri Dalam Negeri #Hamzah Zainudin #KDN
;