RM3 bilion dana KWAN bagi perolehan vaksin, RM2 bilion untuk pelaksanaan PICK- Khairy

Abd Hadi Che Awang
April 26, 2021 16:54 MYT
Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di seluruh negara juga memerlukan kos, kata Khairy. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menegaskan, penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) berjumlah RM5 bilion bertujuan untuk mendapatkan perolehan vaksin COVID-19 serta perbelanjaan bagi pelaksanaan PICK.
Menurut beliau, jumlah berkenaan merangkumi peruntukan RM3 billion bagi proses perolehan vaksin manakala dana tambahan sebanyak RM2 billion adalah bagi tujuan perbelanjaan pelaksanaan PICK di seluruh negara.
"Penggunaan duit KWAN, perkara tersebut akan dijawab Kementerian Kewangan (kerana) saya pengguna duit bukan pemberi duit, pemberi duit (sepatutnya) kena jawab, dia ambil daripada kantung mana, tapi saya akan jawab dengan teliti nanti.
"(Sebenarnya) ada kekeliruan antara (RM) 3 bilion dan (RM) 5 bilion, bekas PM (Perdana Menteri) kita, (Datuk Seri) Najib (Razak) bercakap dulu (RM) 3 bilion sekarang (meningkat kepada RM) 5 bilion.
"(RM) 3 bilion itu (bagi) pembelian dan perolehan vaksin, (manakala RM) 2 bilion tambahan itu pelaksanaan program imunisasi.
"(Contohnya) macam hari ini saya datang Kedah, (Menteri Besar) minta duit daripada saya dan (sebelum ini) RM3 bilion dah pakai beli vaksin, takkan kita (buat) pelaksanaan free (percuma), kita buka dewan kena bayar utiliti, bayar air, bayar api, nak kena bagi elaun, makanan kepada petugas, ini semua (harga) siling dia RM2 bilion, dengan (bahasa) mudah RM3 bilion pembelian (vaksin), RM2 bilion pelaksanaan (PICK)," jelas Khairy.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Isnin.
BACA: Dana KWAN boleh digunakan, elak defisit meningkat - Menteri Kewangan
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan ke mana perginya peruntukan asal berjumlah RM3 bilion seperti diluluskan dalam Belanjawan 2021 bagi membeli vaksin COVID-19 untuk kegunaan 85 peratus rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Pekan itu juga membangkitkan terhadap peruntukan tambahan RM2 bilion yang menjadikan jumlah belanjawan pembelian vaksin sebanyak RM5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mac lalu.
#dana KWAN #Kumpulan Wang Amanah Negara #vaksin #vaksin COVID-19 #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Khairy Jamaluddin
;